Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015 yang diluluskan di Dewan Rakyat Khamis lalu, bertentangan dengan perlembagaan, kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).
Naib Presiden Suhakam Khaw Lake Tee berkata rang undang-undang itu mencabuli perlembagaan persekutuan, hak asasi yang dijaminnya serta prinsip-prinsip hak asasi manusia.
“Jika kamu lihat peruntukan dalam rang undang-undang itu, tiada rujukan untuk mempertahankan hak asasi manusia,” katanya ketika ditemui dalam sambutan Hari Hak Asasi Manusia 2015.
Mengulas itu itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Paul Low berkata beliau tidak tahu berkaitan isu kesahannya.
“Tetapi daripada pandangan saya, jika kamu cakap soal pemberontakan misalnya, nyawa manusia mungkin terkorban dan keselamatan negara menjadi taruhan.
“Jadi, banyak mana pun kamu mahu (bercakap) tentang hak asasi manusia, pada masa-masa seperti ini, kami perlu ambil langkah yang sukar.
“Di kawasan bawah perintah berkurung, kamu perlu usir musuh,” katanya.
Dewan Rakyat pada 4 Disember lalu meluluskan Rang Undang-undang MKN secara tergesa-gesa dengan undi suara majoriti, tanpa sebarang pindaan.
Rang undang-undang itu antara lain, memberi perdana menteri, sebagai pengerusi majlis MKN, kuasa mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai "zon keselamatan" dengan hanya kelulusan anggota majlis itu.
Undang-undang baru ini diperkenalkan ketika kedudukan Datuk Seri Najib Razak selaku perdana menteri terus dicabar pelbagai pihak.