Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tunku Laksamana Johor mangkat
Diterbitkan:  Dec 5, 2015 9:37 PM
Dikemaskini: 4:00 PM

Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim dilaporkan mangkat kira-kira jam 7 malam tadi dan dimaklumkan oleh beberapa pihak termasuk Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Maimunah Iskandariah.

Dalam kemas kini di akaun laman sosial beliau Tunku Azizan menulis: "Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi Rajiun. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh anak saudara saya Tengku Abdul Jalil yang baru mangkat kembali ke rahmatullah. Al-Fatihah."

Berita sedih itu turut dimaklumkan melalui akaun Facebook Johor Southern Tigers.

"Merafak sembah ucapan takziah kepada seluruh kerabat Diraja Johor atas kemangkatan YAM Tunku Jalil Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Laksamana Johor yang telah kembali ke rahmatullah pada 5hb Disember 2015.

"Ucapan tulus ikhlas daripada pasukan Johor Darul Ta'zim, pengurusan dan kakitangan Persatuan Bolasepak Negeri Johor, Southern Tigers Sdn Bhd dan para penyokong Harimau Selatan. Al-Fatihah."

Setakat berita ini dimuat naik, pengumuman rasmi mengenai kemangkatan Tunku Abdul Jalil belum dibuat oleh pihak istana.

Sinar Harian melaporkan Tunku Abdul Jalil terkenal sebagai tokoh yang dekat dengan rakyat serta merendah diri.

Beliau didapati menghidap kanser pada Ogos tahun lalu.

Sementara itu Bernama yang memetik Majlis Jemaah Diraja melaporkan Tunku Abdul Jalil meninggal dunia pada jam 7.11 malam di Hospital Sultanah Aminah.

Beberapa pemimpin kerajaan turut menyatakan rasa dukacita dengan kemangkatan berkenaan.

Khabar dukacita untuk semua

Antaranya ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Tunku Abdul Jalil adalah anakanda keempat Sultan Ibrahim Ismail.

Berikut pula adalah kenyataan rasmi dikeluarkan pejabat Menteri Besar Johor: Kerajaan negeri Johor dan seluruh rakyat jelata merafak sembah belasungkawa kepada seluruh Kerabat Diraja Johor atas kemangkatan YAM Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim, Tunku Laksamana Johor yang telah kembali ke rahmatullah pada 5 Disember 2015.

Berita kemangkatan ini sangat mendukacitakan seluruh warga Johor dan Malaysia.

Sesungguhnya kita kehilangan seorang putera terbaik bangsa yang selama ini menjadi aspirasi dan teladan yang unggul.

Keluhuran sahsiah almarhum telah banyak mengajarkan kita semua erti ketinggian dan kesantunan peribadi. Semoga kekentalan dan semangat almarhum akan terus kekal bersama kita.

Kerajaan negeri dan seluruh warga Johor mendoakan agar almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama dengan orang yang beriman dan dikasihi-Nya.

Al-Fatihah.

Merafak sembah takziah atas kemangkatan Tunku Laksamana Johor, Yang Amat Mulia Tunku Abd Jalil Sultan Ibrahim. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Al-Fatihah.Baca berita selanjutnya: https://www.malaysiakini.com/news/322299

Posted by Malaysiakini (BM Version) on Saturday, 5 December 2015


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS