Seorang jururawat hospital swasta mendakwa dibuang kerja hanya kerana cuba menutup aurat semasa bekerja.
Pengadu, Naziah Sauni Samat mendakwa beliau tidak dibenarkan memakai pakaian seragam berlengan panjang ketika menjalankan tugas.
“Saya rasa hak saya untuk pakai baju lengan panjang, dia (pihak pengurusan) suruh potong, potong dan potong sehingga satu hospital itu suruh pesan dekat saya suruh potong baju lengan panjang menjadi lengan pendek.
“Dan akhirnya semalam saya dibuang kerja,” katanya dalam sidang media Pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Kuala Lumpur hari ini.
Naziah mendakwa hospital berkenaan juga tidak membenarkan beliau memakai stoking lengan bagi atas alasan kawalan jangkitan kuman.
Larangan itu, dakwanya, tidak dimaklumkan sebelum ini.
Wanita 24 tahun itu juga membangkitkan amalan di hospital lain yang membenarkan pegawainya berlengan panjang tanpa sebarang masalah.
“Kalau nak dikira, hospital seperti Hospital Kuala Lumpur benarkan jururawat mereka berlengan panjang.
“Kalau nak cakap mengenai mengawal kawalan jangkitan (kuman), pakaian, topi dan tali leher pun boleh kena jangkitan. Saya kalau buat kerja akan lipat lengan baju,” katanya.
PPIM tuntut penjelasan
Sementara itu Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata pihaknya telah bertemu dengan pengurusan hospital tersebut bagi menuntut penjelasannya.
“Kita rasa terkilan dengan institusi seperti ini,” katanya sambil menegaskan Islam sebagai agama rasmi negara yang dinyatakan dalam perlembagaan.
Justeru, Nadzim menggesa supaya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjelaskan keadaan yang berlaku.
“Saya gesa Jakim, KKM tampil jelaskan perkara ini dan ada dasar yang jelas kerana libatkan orang Islam,” katanya.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan penjelasan hospital itu.