Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiada kuasa pendakwaan untuk SPRM - menteri
Diterbitkan:  Dec 1, 2015 3:11 PM
Dikemaskini: 7:15 AM

Kerajaan tidak bercadang untuk memberikan kuasa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memulakan pendakwaan kes rasuah secara penuh tanpa perlu merujuk Peguam Negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan berkata langkah itu kerana penyiasatan dan pendakwaan sesuatu kes dijalankan berlandaskan prinsip 'check and balance'.

"Ia juga menjadi amalan hampir setiap negara di dunia ini bahawa keputusan untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding sesuatu kesalahan dibuat oleh Pendakwa Raya dan tidak dipengaruhi agensi penyiasatan," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan William Leong Jee Keen (PKR-Selayang) di Dewan Rakyat hari ini.

Leong ingin mengetahui sebab-sebab kerajaan enggan memberi SPRM kuasa pendakwaan serta langkah-langkah untuk melindungi pegawai pendakwaan.

Low berkata sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi yang mana prinsip pengasingan kuasa menjadi tunjangnya, maka adalah menjadi amalan yang diterima sebagai terbaik jika pihak yang membuat siasatan tidak memutuskan hasil siasatan mereka sendiri.

"Walau bagaimanapun, bagi memudahkan urusan penelitian dan rujukan kertas siasatan, Timbalan Pendakwa Raya daripada Jabatan Peguam Negara ditempatkan di ibu pejabat SPRM dan sebahagian besar negeri-negeri," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS