Pengarah Komunikasi PKR Pulau Pinang Ahmad Farid Md Arshad mempertahankan kenyataan Ketua Menteri Lim Guan Eng bahawa lima ADUN parti itu tidak sepatutnya berkecuali berhubung usul Umno berhubung penambakan laut di negeri itu pada sidang DUN, baru-baru ini.
Farid juga menyokong keputusan yang dibuat oleh Timbalan Ketua Menteri I Rashid Hasnon (PKR - Pantai Jerejak), anggota exco kerajaan negeri Abdul Malik Kassim (PKR - Batu Maung) dan Dr Afif Bahardin (PKR - Seberang Jaya) untuk mengundi menolak usul itu yang mahu supaya semua projek penambakan tanah di laut bagi pembangunan tertakluk kepada perdebatan umum.
“Wakil rakyat seharusnya menolak usul Umno, mereka sepatutnya bersama kerajaan negeri untuk kepentingan rakyat," kata Farid pada satu majlis di Bagan hari ini.
"Dalam apa sahaja isu mengenai Pulau Pinang, perlu ada satu kesepakatan di kalangan kita kerana kita mempunyai mandat yang sama untuk mentadbir negeri ini sebagai Pakatan Harapan.
"Kita tidak boleh membiarkan Umno mengelirukan kita. Mereka hanya menunggu masa dan ruang untuk mencetuskan huru-hara dalam pentadbiran negeri ini," katanya.
Hadir sama pada malis itu adalah Lim selaku Ahli Parlimen Bagan dan Setiausaha Agung DAP.
Farid merujuk kepada usul penambakan laut yang difailkan oleh Muhammad Farid Saad (BN - Pulau Betong) yang mahu kerajaan negeri menjalankan kajian menyeluruh, mengadakan rundingan awam, dan membatalkan projek-projek baru yang belum diluluskan dan tidak memberi manfaat kepada rakyat.
Lim berkata beliau menolak usul itu kerana wakil Umno bersama kerajaan BN sebelum ini enggan memohon maaf kerana meluluskan 3421 ekar untuk penambakan, manakala kerajaannya hanya meluluskan 60 ekar.
Beliau berkata negeri juga itu sudah mematuhi undang-undang persekutuan dengan menyediakan kajian komprehensif dan rundingan awam sebelum kelulusan projek.
Katanya, Umno mempunyai rancangan jahat untuk membankrapkan Pulau Pinang dengan menuntut pembatalan projek penambakan itu kerana tindakan berkenaan akan menyebabkan kerajaan negeri membayar pampasan kira-kira RM1 bilion kepada syarikat-syarikat swasta yang terlibat.
Semalam, Lim berkata PKR mesti menilai dengan teliti keputusan lima ADUN parti itu yang berkecuali dalam proses pengundian usul dikemukakan pembangkang pada sidang DUN, Jumaat lalu.
Katanya, berdasarkan pendirian itu, lima wakil rakyat PKR itu disifatkan 'bersama UMNO'.
Speaker Datuk Law Choo Kiang menolak usul itu selepas 23 anggota dewan menentang, 10 menyokong dan lima berkecuali.
Usul itu juga disokong anggota DAP Teh Yee Cheu (DAP-Tanjung Bungah).
Lima ADUN yang berkecuali ialah Ong Chin Wen (PKR-Bukit Tengah), Dr Norlela Ariffin (PKR-Penanti), Lee Khai Loon (PKR-Machang Bubuk), Cheah Kah Peng (PKR-Kebun Bunga) dan Dr T. Jayabalan (PKR-Batu Uban).
Bagaimanapun, Teh memohon maaf kerana mengundi menyokong usul itu pada sidang media selepas persidangan dewan undangan negeri.