Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lagi cawangan Umno desak Najib letak jawatan
Diterbitkan:  Nov 22, 2015 12:59 PM
Dikemaskini: 5:05 AM

Tekanan supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan semakin kuat apabila sebanyak 34 cawangan Umno lagi dari lima buah negeri mendesak beliau melepaskan jawatan presiden Umno.

Ketua-ketua Umno cawangan dari Negeri Sembilan, Selangor, Johor, Perak dan Sabah sebulat suara mendesak agar Najib meletakkan jawatan itu selepas mengadakan pertemuan semalam.

Ini kerana mereka sudah hilang kepercayaan terhadap kredibilitinya memimpin parti itu, lapor Sinar Harian Online hari ini.

Ketua Umno cawangan Taman PD (Port Dickson) Utama Mohd Isa Mohd Yasin berkata mereka memberi sokongan penuh dan meletak harapan yang tinggi terhadap Najib semasa peralihan jawatan bekas perdana menteri Tun Abdullah Badawi kepada beliau.

"Namun, apa yang berlaku hari ini tidak seperti mana yang diharapkan dan sudah ramai yang sangsi dengan Umno," katanya seperti dilapor portal itu.

"Melalui mesyuarat ini juga, kita mahu parti tidak mengambil sebarang tindakan disiplin terhadap timbalan presiden, naib presiden, ketua cawangan atau mana-mana ahli Umno yang tampil membuat kritikan kepada parti," katanya lagi.

Portal itu juga melaporkan Mohd Isa juga mendakwa pihak mendapat sokongan hampir 5,000 ketua cawangan lain di seluruh negara dan bercadang untuk mengadakan himpunan besar-besaran bulan depan.

Bagaimanapun lokasi untuk perhimpunan itu masih belum ditetapkan, katanya dalam laporan itu.

"Kita yakin akan mendapat sokongan lebih satu perempat daripada cawangan Umno di seluruh negara.

"Tindakan kami ini tidak didorong oleh mana-mana pihak, sebaliknya atas kesedaran sendiri untuk mengembalikan hak bersuara dalam Umno kepada yang benar-benar berhak iaitu ketua Umno cawangan sebagai akar umbi supaya parti dapat diselamatkan," katanya.

Pada bulan lalu, seramai 13 ketua cawangan Umno sekitar kawasan Telok Kemang turut mendesak Najib berbuat demikian manakala Rabu lalu pula sekumpulan pemimpin akar umbi Umno yang mendakwa mewakili 20 cawangan Umno di Sepang turut menggesa perkara yang sama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS