Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mesej damai lelaki Islam dapat pelukan warga Paris
Diterbitkan:  Nov 19, 2015 5:11 PM
Dikemaskini: 9:22 AM

GLOBAL Ketika ketegangan akibat serangan pengganas di Paris, seorang lelaki Islam tampil dengan sebuah eksperimen sosial untuk mempromosikan kepercayaan sesama warga Perancis tidak kira agama.

Beliau tampil menutup mata dengan kain sambil memaparkan mesejnya yang ditulis di kertas kadbod yang diletakkan di atas tanah.

“Saya lelaki Islam. Tetapi saya diberitahu saya pengganas. Saya percaya kamu, kamu percaya saya? Jika ya, peluk saya,” tulisnya.

Tindakannya itu menyebabkan orang ramai berkumpul mengelilinginya sebelum seorang demi seorang tampil memeluknya.

Suasana yang ceria bertukar suram apabila kelihatan beberapa orang wanita yang menonton tindakan itu terharu dan menangis akibat usaha murni itu.

Orang ramai juga merakamkan gambar itu melalui kamera dan telefon bimbit masing-masing.

Tragedi di hari jadi

Lelaki itu kemudian membuka kain penutup mata itu dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak.

“Saya buat untuk sampaikan mesej pada semua orang. Saya orang Islam tetapi saya bukan pengganas. Saya tak pernah bunuh orang lain,” katanya.

Beliau juga menjelaskan insiden Jumaat lalu yang mengorbankan lebih 120 orang itu kebetulan berlaku pada hari ulang tahun kelahirannya.

“Tetapi saya tidak keluar rumah. Saya sangat simpati dengan keluarga mangsa. Pengganas adalah pengganas – orang yang sanggup bunuh orang lain begitu saja,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa orang Islam tidak akan membunuh penganut agama lain sesuka hati kerana ia dilarang agama itu.

Video inisiatif lelaki itu dimuat naik oleh saluran video On the Now dan kini sudah dikongsi secara meluas di laman sosial.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS