Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini menolak saman fitnah oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng dan timbalannya P Ramasamy terhadap akhbar New Straits Times dan seorang wartawannya, berhubung artikel yang diterbitkan menerusi talian pada 4 Disember, 2013.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azmi Ariffin yang menolak saman itu juga mengarahkan kedua-dua mereka membayar RM100,000 sebagai kos kepada akhbar harian berbahasa Inggeris itu dan wartawannya Predeep Nambiar.
Azmi dalam penghakimannya, berkata laporan berita yang dimuat naik dalam laman web NST bertajuk 'Indian-interest group claims thugs interrupted meeting' itu disifatkan sebagai bukan fitnah atau berniat jahat.
Dalam tuntutan saman berkenaan, Lim dan Ramasamy secara bersama menuduh kedua-dua defendan berkenaan dengan sengaja, tidak betul dan berniat jahat menyebabkan artikel itu ditulis, dicetak dan diterbitkan.
Kedua-dua mereka menuntut ganti rugi am, ganti rugi dan kos teruk, bersama-sama dengan permohonan maaf itu serta penarikan semula artikel berkenaan.
NST dan Predeep diwakili peguam Leong Wai Hong manakala plaintif diwakili, Datuk N Mureli.
Dalam reaksi spontannya, Lim berkata beliau dan Ramasamy akan merayu keputusan Mahkamah Tinggi, yang disifatkannya membuat keputusan yang "amat dikesali".
Menurut Lim, kedua-dua mereka terkejut dengan keputusan tersebut dan mengarahkan peguam mereka memfailkan notis rayuan.