Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu Yapeim: Jamil sedia jumpa Akmal di mahkamah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata beliau sedia berdepan dengan Pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) Akmal Nasir di mahkamah.

"Kita jumpa di mahkamah," kata Jamil selepas diberitahu pemberita bahawa Akmal enggan memohon maaf berhubung dakwaan salah guna dana anak yatim.

Jamil yang ditemui di ibu pejabat polis daerah (IPD) Putrajaya hari ini, selepas membuat laporan polis terhadap Akmal.

Ditanya bahawa Akmal membuat laporan polis terhadapnya dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) di IPD Dang Wangi sebelum itu, Jamil mengulangi bahawa beliau sedia disiasat.

"Saya bersedia dan terbuka - seperti kenyataan awal saya - untuk disiasat sebarang salah laku, jika ada," katanya.

Peguam Jamil, Adnan Seman @ Abdullah memberitahu pemberita bahawa beliau akan menghantar notis tuntutan kepada Akmal esok.

Jika pemohonan maaf dan penarikan balik tidak dibuat, satu saman akan dibuat di mahkamah terhadap Akmal selewat-lewatnya pada Khamis.

Pada Jumaat lalu, Akmal mendakwa Jamil menyalahgunakan dana Yapeim melalui dana sebuah anak syarikat yang sepatutnya digunakan untuk anak yatim dan kanak-kanak miskin.

Menurut Akmal, jumlah keseluruhan perbelanjaan sepanjang empat hari berjumlah RM410,978 dan kemudiannya beliau membuat semakan semula dengan menganggarkan sebanyak RM590,000 untuk delegasi 100 orang.

Jamil berkata dakwaan tersebut adalah satu kenyataan jahat berupa fitnah dan menyimpang daripada fakta sebenar serta mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya. [Baca berita asal]

Sementara itu, Bernama melaporkan Jumaat lepas, portal berita, The Malaysian Insider melaporkan dakwaan Akmal mengenai lawatan Jamil dan mendedahkan beberapa dokumen yang merujuk kepada perbelanjaan menteri itu ke luar negara untuk menghadiri program dan dibiayai Yapeim.

Pada hari yang sama, Jamil menjelaskan bahawa lawatannya ke Amerika Syarikat pada 21 hingga 29 Mei 2014 adalah bagi memenuhi jemputan program yang dianjurkan agensi di bawah seliaannya, terutama Yapeim dengan kerjasama Kedutaan Malaysia di Amerika, termasuk program Education Malaysia (EM) Chicago sempena Mid West Game yang menghimpunkan lebih 1,000 pelajar dari Amerika serta Kanada.

Ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis, Jamil berkata dakwaan Akmal mengenai program di Amerika Syarikat bersifat bersuka ria menggunakan dana anak yatim merupakan satu fitnah jahat dan cubaan untuk menjatuhkan kredibiliti dan integriti selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

“Saya mengarahkan peguam mengambil tindakan undang-undang terhadap Pengarah NOW (Akmal) yang melakukan fitnah jahat dan tuduhan keji kepada saya.

"Saya sentiasa bersedia dan terbuka untuk disiasat sekiranya benar wujudnya salah laku," katanya.

Ditanya sekiranya Akmal enggan meminta maaf, Jamil Khir berkata “kita jumpa di mahkamah”.

Dalam laporan polis itu, Jamil Khir berkata Akmal secara sengaja memfitnah dan dengan niat jahat mencadangkan kepada umum bahawa beliau seorang menteri yang korup, mencuri dan menyalahgunakan duit anak yatim dan tidak amanah.

"Ini satu serangan terhadap saya di dalam menjalankan tanggungjawab sebagai menteri," katanya.

Agensi berita itu melaporkan Jamil tiba di IPD Putrajaya pada pukul 2.30 petang bersama peguam, Adnan dan beberapa pegawainya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS