Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ekoran kesibukan menteri besar menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, kepimpinan Parti Amanah Negara (AMANAH) hanya dapat membuat kunjungan hormat ke pejabat Mohamed Azmin Ali, pagi ini.

"Pagi ini kita hanya dapat buat kunjungan hormat dan hanya membincangkan bagaimana memperkukuhkan hubungan parti di Selangor serta sokongan kami kepada menteri besar," kata Setiausaha Agung AMANAH, Anuar Tahir ketika ditemui Malaysiakini.

Beliau ditemui di pekarangan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Sebelum itu Anuar menemui Azmin di pejabat beliau kira-kira jam 8.30 pagi sebelum dapat ditemui Malaysiakini kira-kira dua jam kemudian.

Selain Anuar, turut hadir ialah Pengarah Strategi AMANAH, Dr Dzulkefly Ahmad dan pengarah komunikasi parti itu, Khalid Samad yang juga Ahli Parlimen Shah Alam.

Azmin sebelum ini dilaporkan bercadang mengadakan pertemuan dengan pimpinan AMANAH pada hari ini untuk berbincang dengan pelbagai isu, khususnya membabitkan hala tuju kerajaan negeri Selangor dan Pakatan Harapan.

Kerjasama macam biasa

Ia antaranya termasuk menyelesaikan tuntutan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad supaya Pakatan Harapan menandatangani perjanjian bersama kerajaan Selangor.

Desakan itu dibuat kerana setakat ini Selangor belum mengisytiharkan negeri itu ditadbir oleh gagasan Pakatan Harapan walaupun Pakatan Rakyat - yang ditubuhkan dengan PAS - diumum berkubur.

Anuar ketika diminta mengulas perkara tersebut, menafikan ada membincangkan isu pakatan berkenaan.

"Kami tak bincangkan perkara itu (status kerajaan Selangor). Ia hanya kunjungan hormat sebab Azmin sibuk dengan sidang DUN tapi terima kasih kerana masih dapat luangkan masa.

"Kami berkawan dan tak ada masalah langsung, tak ada nak demand, (beri) kata dua semua itu tak timbul di pihak AMANAH," tegas Anuar.

Malah, Anuar berkata kerjasama antara kerajaan negeri dengan AMANAH sehingga kini masih berjalan.

"Kerjasama berjalan seperti biasa, adalah masalah sikit-sikit tapi ia boleh diselesaikan.

Sementara itu, mengulas kenyataan Khalid ( gambar ) yang mendakwa kerajaan negeri ada 'wanita simpanan' Anuar berkata ia bukan pendirian parti.

"Tak ada, itu kenyataan off cut dan tak perlu dibesar-besarkan. Tak semestinya apa yang dinyatakan itu merupakan pendirian parti.

Diminta mengulas kerjasama dengan PAS pula, Anuar meminta soalan itu diajukan kepada parti tersebut.

"Itu kena tanya PAS," kata Anuar sebelum berlalu pergi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS