Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lawatan kedua: Polis, SKMM rampas lagi komputer M'kini
Diterbitkan:  Nov 9, 2015 5:50 PM
Dikemaskini: 10:40 AM

Polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) hari ini merampas sebuah lagi komputer riba daripada seorang wartawan Malaysiakini selepas soal siasat berhubung laporan pemindahan seorang pendakwa raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ini adalah lawatan kedua, bagi polis dan SKMM yang terus menyiasat mengenai artikel berkenaan.

Pihak berkuasa menghabiskan kira-kira satu jam bagi menyoal dua wartawan portal berita bebas itu dan meninggalkan pejabat Malaysiakini di Petaling Jaya, kira-kira jam 4.30 petang.

Lebih ramai wartawan Malaysiakini dijadualkan disoal berhubung laporan itu.

Menurut portal The Star , pihak berkuasa juga menyoal seorang wartawannya hari ini berhubung isu yang sama.

Jumaat lalu, mereka merampas sebuah komputer dari Malaysiakini dan juga The Star .

Malaysiakini pada 2 November lalu menyiarkan laporan bahawa seorang pendakwa raya SPRM yang terbabit dengan penahanan beberapa saksi penting berhubung siasatan kes SRC International secara mengejut dipindahkan.

Memetik sumber, portal itu melaporkan pegawai berkenaan adalah Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Shazalee Abdul Khairi.

Mohd Shazalee adalah sebahagian daripada pasukan SPRM yang menyiasat dakwaan dana dari bekas anak syarikat 1MDB, SRC International disalurkan ke akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali bagaimanapun menafikan bahawa Mohd Shazalee telah dipindahkan keluar daripada SPRM, tetapi laporan Malaysiakini tidak menyatakan perkara itu.

Pada Rabu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri memberitahu Dewan Rakyat bahawa Mohd Shazalee dipindahkan secara dalaman, iaitu dari Bahagian Operasi Khas.

Mengulas serbuan itu, Ketua Pengarang Kumpulan Malaysiakini Steven Gan, pada Jumaat lalu berkata Malaysiakini sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa tetapi akan terus melindungi identiti sumber mereka.

“Berhubung artikel itu, kami mempertahankan kesahihannya. Lagi pun menteri undang-undang juga mengesahkan laporan itu tidak silap dan pemindahan memang berlaku.

Malaysiakini akan terus melaporkan berita tanpa gentar," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS