Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Parti Amanah Negara (AMANAH) mengikuti dengan penuh minat desakan yang dibuat oleh salah seorang perwakilan konvensyen DAP Selangor terhadap kerajaan negeri Selangor.

Beliau mendesak supaya PAS dikeluarkan dari kerajaan negeri Selangor dan sekiranya tidak, maka DAP perlu keluar!

Desakan ini telah diberikan liputan luas oleh media dan ia mendatangkan bermacam-macam reaksi rakyat Selangor.

Walaupun ia bukan satu resolusi yang diluluskan secara rasmi dan hanya desakan seorang perwakilan, ia digambarkan seolah-olah keputusan muktamad DAP.

AMANAH melihatnya sebagai luahan peringkat akar umbi yang tidak berpuas hati dengan suasana yang dianggap terumbang-ambing antara Pakatan Harapan dan ‘Pakatan PKR-PAS’.

Namun demikian, desakan untuk mengeluarkan PAS secara mengejut tidak akan menguntungkan semua kecuali Umno dan BN.

Status kerajaan negeri

Antara kegusaran peringkat akar umbi adalah status kerajaan negeri itu sendiri. Kerajaan apakah yang memerintah negeri Selangor?

Dulu ia kerajaan Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP yang memerintah berdasarkan manifesto Pakatan Rakyat Selangor.

Sekarang Pakatan Rakyat sudah tidak wujud dan yang wujud adalah Pakatan Harapan. Tetapi yang memerintah Selangor bukan kerajaan Pakatan Harapan kerana PAS bukan sebahagian dari Pakatan Harapan.

Sedangkan PAS merupakan sebahagian dari kerajaan dengan adanya tiga exco dan seorang timbalan speaker. Maka apa pula hubungan Pakatan Harapan dan PAS?

Oleh itu kedudukan dan status kerajaan Selangor perlu diperjelaskan dan diselaraskan supaya ia tidak lagi dilihat sebagai sebuah ‘kerajaan dua gabungan’ yang tidak saling memperakui satu sama lain.

Iaitu, pertamanya gabungan Pakatan Harapan antara PKR, DAP serta AMANAH dan keduanya ‘Pakatan PKR-PAS’.

Suasana ‘anamoli’ atau kepelikan ini perlu diatasi supaya paling kurang, kerajaan Selangor dilihat bersatu dan kukuh dengan identiti yang jelas dan tersendiri.

Bukan lagi sebagai kerajaan dua gabungan yang satunya rasmi dan satunya tidak. Dikhuatiri ia akhirnya digambarkan bagaikan suami yang mempunyai isteri yang sah dan pada masa sama seorang wanita simpanan.

Oleh itu satu penyelesaian perlu difikirkan dan dikemukakan untuk supaya ‘anamoli’ ini ditamatkan.

Cadangan

AMANAH melihat bahawa persoalan status dan kedudukan kerajaan negeri Selangor boleh diselesaikan dengan dirasmikan hubungan semua pihak melalui satu perjanjian kerjasama antara Pakatan Harapan dan PAS.

Pendekatan sebegini tidak menjejas kedudukan sama ada Pakatan Harapan Selangor atau PAS Selangor.

Melalui perjanjian kerjasama ini kedudukan kedua-dua entiti diiktiraf dan hubungannya menjadi rasmi.

Melalui tindakan ini hubungan antara PAS adalah dengan Pakatan Harapan dan bukan hanya dengan PKR.

Kerajaan Selangor pula jelas menjadi kerajaan gabungan Pakatan Harapan-PAS dan bukan entiti yang pelik iaitu dua gabungan yang saling tidak mengiktiraf satu sama lain.

Seterusnya, gabungan baru ini, ia itu Pakatan Harapan-PAS, perlu menentukan dasar-dasar yang ingin dilaksanakan bersama.

Ini memberi peluang untuk kerajaan Pakatan Harapan-PAS Selangor mengkaji kembali manifesto Pakatan Rakyat Selangor.

Sekiranya didapati peluang penambahbaikan maka ia perlu dimanfaatkan.

Sebaliknya, sekiranya manifesto Pakatan Rakyat ingin diterima pakai oleh kerajaan Selangor Pakatan Harapan-PAS, maka biarlah ia dilakukan secara rasmi juga.

Tanggapan negatif

Perlu difahami bahawa kedudukan sedia ada tidak boleh bertahan buat selama-lamanya. Hubungan Pakatan Harapan-PAS perlu dirasmikan dan dasar bersama Pakatan Harapan-PAS perlu diketengahkan.

Baru menjadi jelas hala tuju dan sikap kerajaan Selangor dalam semua persoalan. Dengan itu ia menjadi lebih mudah untuk rakyat menilai prestasi kerajaan Selangor dan melihat kelebihan yang ada padanya.

Perkara-perkara tersebut di atas perlu disegerakan.

AMANAH khuatir sekiranya rakyat Selangor naik jemu dengan suasana terumbang-ambing dan tidak jelas yang wujud dewasa ini berhubung kedudukan kerajaan negerinya.

Dikhuatiri ia dilihat sebagai kegagalan mengutamakan rakyat dengan mengurus perbezaan secara konstruktif dan membina.

Sekiranya suasana ‘politik berjerebu’ ini berterusan sehingga pilihan raya umum ke-14, dikhuatiri rakyat akan menghukum Pakatan Harapan dan juga PAS melalui peti undi.

Oleh itu, daripada kita menimbulkan masalah dan kesulitan bagi semua dengan menuntut supaya dikeluarkan PAS dari kerajaan Selangor, adalah lebih baik ditawarkan perjanjian kerjasama antara PH dan PAS.

Melalui perjanjian ini kerjasama dirasmikan dan dasar-dasar ditentukan untuk dilaksanakan bersama.

Pilihan untuk mengeluarkan PAS dari kerajaan Selangor dengan sendirinya menjadi tidak lagi relevan dan kerajaan Selangor boleh berjalan dengan lebih berkesan apabila hubungan Pakatan Harapan dengan PAS dirasmikan.

Komitmen terhadap dasar-dasar bersama turut dinyatakan dan diperkukuhkan untuk dilaksana bersama.


KHALID SAMAD pengarah komunikasi AMANAH. Artikel ini dikeluarkan kali pertama di blog penulis hari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS