EKSLUSIF l Seorang pendakwa raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) yang terbabit dengan penahanan beberapa saksi penting secara mengejut dipindahkan hari ini.
Menurut sumber kepada Malaysiakini , pegawai itu adalah Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Shazalee Abdul Khairi.
Beliau sebelum ini, ditahan oleh pihak polis pada awal pagi 1 Ogos lalu dan ditahan di sebuah lokap serta rumah dan pejabatnya digeledah.
Dokumen dan komputer ribanya turut dirampas daripada pejabatnya di operasi bahagian khas SPRM pada hari yang sama sebelum beliau dibebaskan.
Apa yang menjadi pemindahannya penuh tanda-tanya adalah peminjaman Ahmad Shazalee ke SPRM baru sahaja dilanjutkan pada pertengahan tahun ini dan sepatutnya berkuatkuasa sehingga 2017.
Bagaimanapun, Peguam Negara Mohamed Tan Sri Apandi Ali pada surat bertarikh 14 Oktober mengarahkan Ahmad Shazalee melaporkan diri pada hari berikutnya.
Difahamkan SPRM hanya menerima surat arahan pemindahan itu pada hari Jumaat (30 Oktober) lalu.
Apandi menafikan dakwaan bahawa Shazalee dipindahkan dan berkata berita Malaysiakini berkaitan perkara itu adalah palsu.
Tweet Pejabat Peguam Negara (AGC) malam ini menyebut:
“AGC menjelaskan bahawa tiada arahan pemindahan kepada DPP Shazalee Abdul Khairi keluar daripada SPRM.”
Beliau sebelum itu enggan mengulas mengenai pemindahan berkenaan.
"Saya ada banyak pegawai yang dipindahkan. Saya tidak dapat tentukan yang mana satu," katanya ketika ditanya sebab-sebab di sebalik pemindahan Ahmad Shazalee.
'Kerja Gila'
Pemindahan Ahmad Shazalee secara mengejut itu juga disahkan oleh sumber dari Jabatan Peguam Negara dan SPRM.
Bagaimanapun, tidak diketahui di mana Ahmad Shazalee melaporkan diri untuk kerja hari ini.
Menurut sumber yang tidak mahu namanya disiarkan, keputusan Jabatan Peguam Negara itu sebagai 'kerja gila' kerana tidak ada ada pegawai lain yang ditugaskan menggantikan kerja Ahmad Shazalee.
"Ini adalah usaha untuk menjejaskan siasatan ke atas SRC International," kata sumber lain.
Nota editor: Malaysiakini secara tidak sengaja melaporkan surat perpindahan itu dihantar oleh Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali. Surat itu sebenarnya dihantar oleh Pejabat Peguam Negara. Kesilapan itu kami kesali.