Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hadi: PAS berkecuali cadangan tolak Bajet 2016
Diterbitkan:  Nov 1, 2015 11:28 AM
Dikemaskini: 3:30 AM

PAS mengambil langkah berkecuali daripada rakan pembangkang yang lain dalam cadangan penolakan usul Bajet 2016 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 23 Oktober lalu.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata kesemua ahli parlimen PAS sebulat suara bersetuju dengan langkah tersebut, lapor Sinar Harian hari ini.

"Dalam soal tolak usul bajet, kita berkecuali dan tidak akan undi bagi pembangkang secara mutlak kerana dasar parti kita akan sokong perkara-perkara positif untuk rakyat dan akan membantah perkara-perkara negatif.

“Ada benda yang kita tidak setuju tetapi tidak mungkin kita akan sertai saranan untuk saranan bantah usul Belanjawan (Bajet) 2016,” kata Hadi seperti dilaporkan akhbar itu.

Hadi mengulas kenyataan MP Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang menyarankan kesemua ahli parlimen pembangkang menolak usul bajet sebagai salah satu protes menolak kepimpinan Najib.

Dalam pertentangan bajet bulan lalu, MP pembangkang menyambut pembentangan belanjawan 2016 Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan mempamerkan plakad bertulis "Mana 2.6 bilion?"

Ia bertujuan menyindir isu dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib yang juga menteri kewangan.

Bagaimanapun, berdasarkan gambar dikongsi di Internet, kelihatan beberapa anggota parlimen dari PAS tidak mengangkat plakad itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS