Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penjual tudung Fareeda di Internet untung melampau?

KINIBIZ Produk Fareeda yang terhad berpunca dari bidang perniagaannya yang eksklusif. Syarikat itu hanya mengeluarkan 100 tudung untuk setiap variasi rekaan.

Menurut Aminuddin, strategi perniagaannya adalah untuk memperkenal rekaan baru dalam beberapa variasi, setiap beberapa bulan. Rekaannya masih lagi dihasilakan oleh Faridah yang bekerja dalam studio khas di rumah.

Sehingga kini beliau menjangka kira-kira 20 rekaan sudah terjual, 15 daripadanya sangat laku.

“Kami ada berdozen-dozen rekaan, ada yang masih belum didedahkan,” kata Aminuddin.

Beliau menambah, mereka perlu menentukan masa tertentu mengikut trend dan mood semasa pelanggan. Ia juga bergantung kepada pengeluaran kerana keperluan untuk rekaan tertentu dan kos.

Kesan sampingannya bagi bidang eksklusif ini, muncul pula satu pasaran sekunder untuk barangan keluarannya.

Ramai pelanggan membeli secara pukal setiap kali muncul rekaan baru untuk jualan di media sosial.

Inilah yang menyebabkan ramai pelanggan menunggu di luar butik utamanya di Bangi, malah sebelum terbit matahari, setiap kali rekaan baru Fareeda muncul di rak.

Kemunculan rekaan baru itu diumumkan di Facebook dan Instagram.

“Apabila mereka melihat produk mendapat penerimaan yang baik, mereka melihat peluang untuk membuat keuntungan,” kata Aminuddin.

Tambahnya, tudung tersebut dijual sehingga lebih RM100 setiap satu, namun ada variasi rekaan popular yang dijual antara RM500 hingga RM600 setiap tudung.

“Penjual itu biasanya yang beratur sejak awal lagi,” katanya.

Para penjual ini beroperasi melalui Facebook dan Instagram dan dapat mengaut pendapatan sehingga RM10,000 setiap bulan.

Bagaimanapun, fenomena ini menimbulkan banyak kritikan, terutama terhadap obsesi ke atas rekaan Fareeda dan juga ke atas keuntungan melampau di kalangan penjual ini.

Ada yang membandingkan penjual ini dengan golongan tidak berumah yang meminta sedekah di tepi jalan.

“Kami tidak pernah memberitahu mereka untuk melakukan perkara ini – ia berlaku di luar kawalan kami,” katanya yang menambah mereka menasihati pembeli tersebut supaya menjual semula dengan harga munasabah,” kata Aminuddin.

Beliau hanya mampu mengangkat bahu. “Apa yang kami boleh buat?,” soalnya dan menambah, mereka tetap memantau harga produk di pasaran sekunder.

Aminuddin menyebut faktor kekangan pengeluaran. Rekaan tudung mungkin sama dengan pembuatan baju tetapi ia memerlukan sentuhan tangan manusia di sebalik setiap mesin jahit.

“Selepas beberapa tahun dilatih, pekerja kami boleh mengeluarkan produk yang benar-benar bermutu, cantik dan berseni,” katanya yang bangga dengan hasil tangan kakitangan.

Idea untuk menubuhkan kilang sememangnya dipertimbangkan, tetapi mereka tidak mahu tergesa-gesa, kata Aminuddin. Beliau memberi alasan, usaha seperti itu memerlukan pelaburan dalam jentera dan tenaga manusia.

“Permintaannya tinggi, selagi boleh, kami mahu memberi apa yang pelanggan mahu,” kata Aminuddin. “Tapi kami perlu mengambil kira penjenamaan eksklusif produk kami.”

[Baca laporan asal di Kinibiz]

Laporan terdahulu:

Kebangkitan empayar tudung Fareeda

Dari impian, tudung Fareeda jadi empayar


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS