Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS mungkin mansuh lafaz taklik wakil rakyat Kelantan
Diterbitkan:  Oct 19, 2015 2:28 PM
Dikemaskini: 6:31 AM

PAS tidak menolak kemungkinan akan memansuhkan penggunaan lafaz taklik cerai talak tiga ke atas isteri yang dikenakan kepada wakil rakyat di Kelantan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bagaimanapun, beliau berkata keputusan itu bergantung kepada pertimbangan yang akan dibuat dengan melihat keadaan semasa parti itu di Kelantan.

"Taklik ini khusus untuk (wakil rakyat) Kelantan, ia diperkenalkan apabila pada 1995, ketika PAS bersama Semangat 46. Waktu itu kita hanya tinggal satu kerusi lebih (dan) terdapat usaha pihak lawan untuk membeli wakil-wakil rakyat melalui politik wang.

"Kelantan negeri kita memerintah, kita lihat ia sudah kukuh, wakil rakyat kita pun sudah istiqamah, calon-calon kita pun sudah bermutu dan bernilai berbanding dahulu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutup Ijtimak Ulama Nusantara 2015 di Kota Bharu, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau negeri, Datuk Nasaruddin Daud.

Abdul Hadi bagaimanapun berkata, sumpah bai'ah yang menjadi teras perjuangan parti itu akan dikekalkan dan diteruskan dalam PRU akan datang.

"Alhamdulillah kita dapati wakil-wakil rakyat kita kini konsisten dan istiqamah, taklik ini kemungkinan akan dibuang, bai'ah diteruskan kerana ia teras yang penting," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan ramai berminat menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH) yang diketuai bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Abdul Hadi berkata mana-mana pihak boleh membuat dakwaan sedemikian.

"Sehingga kini tak ada sebaliknya apa yang kita dengar, di peringkat negeri ramai yang kembali kepada PAS," katanya.

Lebih 2,000 ulama dari dalam dan luar negara dihimpunkan dalam Program Ijtimak Ulama Nusantara 2015 yang diadakan bagi memperkukuh dan menyelaraskan pemikiran alim ulama dan umat Islam Nusantara pada masa-masa akan datang.

Abdul Hadi berkata, ijtimak ulama itu bagi menghidupkan budaya ilmu termasuk perpaduan dalam masyarakat khususnya untuk memperkenalkan Islam sebagai satu cara hidup.

"Ulama dianggap berpengaruh dalam masyarakat Islam kerana peranan mereka sangat besar...sebab itu kita perlu satu gerakan secara kolektif dan bersatu," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS