Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jerebu: Indonesia anggap tak perlu minta maaf
Diterbitkan:  Sep 26, 2015 4:35 PM
Dikemaskini: 8:38 AM

Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla berkata, Indonesia tidak perlu meminta maaf berhubung asap daripada kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan yang menyebabkan pencemaran udara di beberapa negara.

Jusuf berkata, apa yang perlu dilakukan oleh republik itu ialah mengatasi masalah kebakaran hutan supaya masalah pencemaran udara akibat asap kebakaran itu tidak berulang lagi, lapor Kompas .

"Berapa lama mereka (negara jiran) nikmati udara segar daripada kawasan hijau dan hutan-hutan kita semasa ia tidak terbakar? Berbulan-bulan. Adakah mereka berterima kasih?

“Tetapi, semasa terjadinya kebakaran hutan paling lama sebulan, asap-asap itu cemari wilayah mereka. Jadi, mengapa mesti meminta maaf," katanya.

Selain itu, Jusuf juga berkata, salah satu penyebab kebakaran hutan susulan wujud permintaan beberapa syarikat milik negara-negara yang mengalami jerebu.

Menurutnya, syarikat dari negara-negara itu juga menebang dan membakar hutan dengan menggunakan khidmat warga tempatan untuk mengosongkan tanah bagi tujuan perladangan atau perniagaan.

Menurut Kompas, Jusuf pernah mengatakan perkara sama pada tahun 2005 dan 2007 ketika menjadi naib presiden kepada Presiden Indonesia keenam, Susilo Bambang Yudhoyono.

Malah pada 18 September lalu, Jusuf turut memberi kenyataan sama ketika bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di pejabatnya.

Jusuf turut berkata, punca kebakaran dan kerosakan hutan juga disebabkan oleh kemasukan orang-orang asing yang memerlukan tanah pada tahun 1960-an dan 1970-an yang kemudian bekerjasama dengan syarikat Indonesia.

"Mereka yang mengajar kita supaya memusnahkan hutan. Akibatnya, dengan menggunakan alasan pembangunan, hutan-hutan kita ditebang.

"Tanah-tanah gambut kita dibuka. Tanah gambut yang basah dan banyak mengandungi air menjadi kering sehingga mudah terbakar," kata Jusuh sambil menamakan beberapa syarikat asing tersebut.

Sehubungan itu, beliau berkata, selain mencegah daripada berlakunya kebakaran hutan, kerajaan juga akan mengeluarkan larangan pembalakan dan moratorium (penggantungan) terhadap penggunaan tanah termasuk pembukaan tanah-tanah bagi ladang baru.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS