Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia Datuk Jamal Md Yunos hari ini membuat 17 laporan polis berhubung pelbagai dakwaan yang dianggapnya fitnah dan tohmahan.
Antara laporan polis yang dibuat berhubung dakwaan dalam media sosial dan blog yang mendakwa beliau ingin merogol seorang artis.
Beliau juga membuat laporan polis berhubung dakwaan sebuah lagi blog yang memaparkan gambar beliau bersama Datuk Seri Najib Razak dan mendakwa menerima wang berjumlah RM3 juta dari perdana menteri.
"Saya buat laporan polis hari ini mengenai fitnah dan tohmahan di media sosial.
"Saya lihat semakin keterlaluan. Jadi hari ini saya bersama peguam, dah berbincang beberapa hari yang lepas untuk ambil tindakan pada mereka yang tak bertanggungjawab," katanya.
Jamal berkata demikian dalam sidang media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya hari ini.
Selain itu, ketika ditanya sama ada beliau mengenali artis berkenaan, Jamal memberitahu beliau mengenali ramai artis.
Katanya, sebagai seorang ahli perniagaan dan juga memiliki syarikat hiburan, beliau mengenali ramai artis termasuk Siti Nurhaliza.
"Saya kenal ramai kenal artis sebab saya seorang ahli perniagaan dan saya juga mempunyai sebuah syarikat hiburan dan artis pun ramai kenal saya.
“Saya kenal (artis yang didakwa ingin dirogol) dan ramai saya pernah jumpa, Siti Nurhaliza pun saya pernah jumpa dan artis-artis lain pun saya pernah jumpa,” kata Jamal yang juga pengerusi BN bahagian Sungai Besar itu.
Malah, menurut Jamal, beliau juga mendapati kenyataan yang mengaitkan dirinya ingin merogol artis berkenaan bukan dibuat oleh artis tersebut. Sebaliknya ia dibuat oleh pemilik blog terbabit, katanya lagi.
“Saya lihat itu bukan kenyataan dari artis itu.
“Itu adalah kenyataan daripada orang lain yang mengaitkan saya. Saya sudah semak tidak ada kenyataan daripada artis tersebut,” ujarnya lagi.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi artis itu.