Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mempersoalkan mengapa Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menyaman seorang bekas editor Wall Street Journal (WSJ) yang mendakwa bekas perdana menteri itu membazirkan sejumlah besar wang semasa pemerintahannya.
"Menurut bekas editor WSJ Barry Wain, Tun Dr Mahathir Mohamad telah membazirkan kira-kira RM100 bilion sepanjang 22 tahun pemerintahannya," kata Salleh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia.
Menulis di dalam blognya sskeruak.blogspot.com, katanya RM100 bilion dalam 1990 mungkin bernilai RM225 bilion hari ini.
Salleh berkata dalam buku, "Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times", Wain menulis semasa Dr Mahathir mula menyandang jawatan perdana menteri pada 1981, pentadbirannya terlibat dengan skandal kewangan.
Ini berlaku biarpun slogan pentadbiran di zaman pentadbiran beliau, ialah "bersih, cekap, amanah."
Salleh berkata menurut kenyataan sinis Wain, pada awal 1990-an merupakan "satu dekad untuk tingkah laku yang buruk" atau "satu dekad yang buruk untuk tingkah laku yang baik".
"Dr Mahathir tidak pernah menyaman Wain maka dakwaan itu kekal dan kerana Dr Mahathir tidak menyaman Wain adakah ini bermakna tuduhan itu benar?," soal Salleh.
Menteri berkenaan menyamakan antara keadaan Dr Mahathir dan suasana yang dihadapi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadapi beberapa dakwaan tertentu daripada WSJ.
Salleh berkata pandangan bahawa jika dakwaan itu tidak benar maka Najib perlu menyaman WSJ dan jika perdana menteri enggan menyaman, dan ini mungkin bermakna bahawa dakwaan itu benar maka Najib bersalah.
"Bagaimanapun, jika Najib enggan menyaman WSJ, Dr Mahathir berkata itu bermakna dakwaan itu adalah benar," katanya.
- Bernama