Malaysiakini hari ini melancarkan portal berita versi Bahasa Malaysia untuk membolehkan lebih pembaca mengikuti berita-berita bebas mengenai perkembangan semasa tanahair.
Para pembaca boleh mengakses portal tersebut di alamat www.malaysiakini.com/bm yang menyiarkan berita, rencana dan pendapat dalam Bahasa Malaysia termasuk terjemahan bahan dari versi Bahasa Inggeris.
"Dengan peningkatan mendadak jumlah pelayar Internent, ia merupakan masa terbaik bagi malaysiakini untuk turut mengembangkan sayapnya dan tidak terhad kepada pembaca bahasa Inggeris sahaja," katanya Pegawai Eksekutifnya, Premesh Chandran.
Walaupun tidak ada statistik khusus mengenai pilihan bahasa di kalangan pengguna Internet di Malaysia, tetapi akhbar-akhbar Bahasa Malaysia kini menguasai 30 peratus pasaran akhbar harian.
Manakala 20 peratus pembaca dalam Kategori PMEB (Profesional, Pengurus, Eksekutif dan Ahli Perniagaan) turu pembaca akhbar Bahasa Malaysia.
"Kami percaya jumlah pelayar Internet yang memilih membaca bahan dalam Bahasa Malaysia semakin meningkat. Dan tidak seperti pembaca Bahasa Inggeris, pada masa ini, mereka tidak mempunyai banyak pilihan di Internet. Oleh itu, kami yakin terdapatnya pasaran yang besar untuk diterokai oleh penyedia berita bebas seperti malaysiakini ," kata Chandran.
"Walau sebelum ini, malaysiakini juga menyiarkan bahan-bahan dalam Bahasa Malaysia, tetapi dengan pelancaran portal berita versi Bahasa Malaysia ini, ia dijangka dapat meningkatkan jumlah pembaca dan pelanggan malaysiakini ," tambahnya.
Dengan bertambahnya jumlah pembaca Bahasa Malaysia, malaysiakini berharap dapat meningkatkan ruang untuk pembaca berbilang kaum, berbincang mengenai isu-isu penting di negara ini.
"Kami akan menulis mengenai isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat Malaysia, dan bukannya terhad kepada masyarakat Melayu sahaja. Kami akan cuba menjangkaui sempadan etnik dan perspektif sempit mengenai Malaysia,," kata Ketua Pengarang malaysiakini , Steven Gan.
Pengarang berpengalaman
Versi Bahasa Malaysia malaysiakini akan diketuai oleh Pengarang Berita, Nash Rahman yang sudah lebih 20 tahun membabitkan diri dalam industri media di negara ini. Buat masa laman Bahasa Malaysia ini akan dikendalikan oleh dua wartawan sepenuh masa.
Beliau pernah menjadi Ketua Pengarang Berita di akhbar Berita Harian dalam tahun 1980-an, serta pernah menjadi pengarang di beberapa penerbitan tempatan khusus mengenai politik Malaysia, termasuk di akhbar Watan yang kini tiada lagi beroperasi.
Menurut Nash, pelancaran portal berita versi Bahasa Malaysia malaysiakini akan memberi peluang kepada pembaca untuk mengikuti perkembangan semasa di negara ini.
"Kami akan menyiarkan berita-berita bebas dan berwibawa terutama mengenai perkembangan politik semasa yang tidak akan dapat dibaca di media perdana tempatan milik kerajaan.