Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PAS sekali lagi menegaskan bahawa parti itu tidak akan bertindak terburu-buru untuk membuat keputusan menyertai gabungan pembangkang yang baru atau Pakatan Rakyat 2.0.

Ketua penerangannya, Nasruddin Hassan berkata banyak perkara yang harus menjadi pertimbangan PAS apatah lagi ia mempunyai kaitan dengan pendekatan dan strategi politik parti Islam itu.

"Itu adalah berkait soal pendekatan dan strategi politik. Setakat ini parti tidak membuat sebarang keputusan lagi. Ia terlebih dahulu perlu dibincangkan, dikaji dan diteliti di semua peringkat parti.

"Mungkin selepas beberapa ketika PAS akan membuat pendirian rasmi.

"Tidak perlu tergopoh-gopoh untuk ambil tindakan sebab kita kena baca banyak perkembangan politik semasa," katanya selepas sidang media pelancaran Program 'Himpunan 60 Ribu' (H60K) di ibu pejabat parti itu petang ini.

Turut hadir dalam sidang media itu Ahli jawatankuasa PAS pusat Datuk Khairuddin Aman Razali dan Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Aziz.

Semalam Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli dilapor berkata pembentukan gabungan pembangkang baru akan diketahui dalam tempoh sebulan.

Katanya, beliau yakin hasil rundingan di antara semua parti pembangkang, termasuk Parti Amanah Negara (Amanah) akan membuahkan hasil.

Pertemuan kepimpinan tertinggi PAS dan PKR semalam berlangsung di Ibu Pejabat PKR, tetapi pembentukan Pakatan Rakyat 2.0 tidak disentuh dalam perjumpaan tiga jam itu.

Difahamkan pertemuan itu hanya menjurus kepada isu kepentingan bersama dua parti tersebut.

Sementara itu, Nik Abduh ketika diminta mengulas berhubung pertemuan itu pula memaklumkan pihaknya belum mendapat maklumat rasmi mengenainya.

"Memang ada pertemuan semalam tapi kita belum dapat maklumat rasmi lagi. Hal itu (Pakatan Rakyat 2.0) masih di peringkat perbincangan dan belum ada keputusan lagi," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS