Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohammed berkata kumpulan "baju merah" boleh mengadakan perhimpunan namun beliau menyarankan supaya diadakan di lokasi lain pada 10 Oktober ini.
Beliau berkata lokasi perhimpunan itu - Bukit Bintang - perlu diubah bagi mengelakkan persepsi bahawa perhimpunan itu dilakukan disebabkan unsur perkauman, lapor The Star Online .
"Secara peribadi saya rasa mereka patut buat di tempat lain bagi membuang persepsi bahawa mereka melakukan perhimpunan itu atas sebab-sebab perkauman.
"Mereka boleh melakukannya tetapi mereka perlu mengelakkan sebarang tuduhan yang mengatakan mereka perkauman," katanya dalam temubual yang dipetik dari portal berita itu.
"Jika ia adalah sebagai reaksi kepada BERSIH 4, biarkan ia. Tetapi jika bertujuan untuk menyuntik sentimen bahawa BERSIH 4 lebih ramai Cina dan kita memerlukan kaum Melayu untuk membalas balik dan menunjukkan orang Melayu tidak suka dengan apa yang kaum Cina lakukan - ia akan mengundang masalah," katanya.
Dalam temubual itu juga, Nur Jazlan juga meminta kumpulan baju merah yang diketuai Ketua Umno Sungai Besar Datuk Jamal Yunos supaya melakukan perhimpunan yang lebih baik daripada BERSIH 4.
Laporan itu juga menyebut, MP Pulai itu menjelaskan, pihak tersebut perlu meminta kebenaran kepada pihak berkuasa sekiranya ingin melakukan perhimpunan di Dataran Merdeka.
"Kumpulan baju merah perlu lakukan lebih baik daripada kumpulan baju kuning. Mereka perlu meminta kebenaran dan melakukannya di sekitar Dataran.
"Tetapi tetap ada sekatan. Mereka tidak boleh lakukan di sekitar kawasan keagamaan. Sebab itu pihak polis mencadangkan untuk buat di stadium," katanya lagi.