Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zahid: Jangan jadi 'kuda tunggangan' DAP
Diterbitkan:  Aug 30, 2015 3:30 PM
Dikemaskini: 7:32 AM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap dalang di sebalik penganjuran perhimpunan Bersih 4.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mengingatkan para pemimpin terbabit bahawa pihak berkuasa sedang memantau tindak-tanduk mereka.

"Kita juga mengikuti setiap patah ucapan mereka. Kita tahu apa tindakan-tindakan yang dilakukan oleh pihak mereka," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO bahagian Ipoh Timur di Bangunan Umno Perak di Ipoh hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan yang boleh dikenakan terhadap pihak terbabit.

Ahmad Zahid berkata antara tindakan undang-undang yang boleh dikenakan terhadap mereka ialah di bawah Akta Perhimpunan Aman, Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan Akta Polis.

Ahmad Zahid juga mengingatkan pihak terbabit agar tidak menyalahkan pihak berkuasa jika tindakan diambil terhadap mereka.

"Saya bersetuju dengan Tan Sri IGP (ketua polis negara Tan Sri Khalid Abu Bakar), berani buat berani tanggung. Jangan menuduh pihak berkuasa terutama kerajaan berlaku zalim...kerana sebenarnya mereka yang menzalimi diri mereka sendiri," katanya.

Beliau juga mengingatkan pihak-pihak tertentu agar tidak membuat fitnah ada tokoh tertentu yang menyertai perhimpunan itu.

"Jangan fitnah kononnya ada tokoh yang datang walaupun dia sebenarnya ada di luar negara," katanya.

Menyentuh kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad pada perhimpunan itu, Ahmad Zahid berkata perkara itu tidak sepatutnya menjadi isu kerana bekas Perdana Menteri itu hanya berada di kawasan perhimpunan itu selama enam minit.

Ahmad Zahid juga berkata pihak terbabit harus tahu bahawa apabila warta kerajaan telah ditandatangani, perhimpunan itu adalah haram mengikut Akta Perhimpunan Aman atau undang-undang lain.

Terdahulu, dalam ucapannya Ahmad Zahid berkata orang Melayu tidak seharusnya membiarkan diri mereka menjadi 'kuda tunggangan' DAP untuk tujuan politik.

"Kita sering dicabar kerana mereka (DAP) anggap kita lemah...jadi mereka akan cuba melaga-lagakan kita antara satu sama lain," katanya.

Beliau juga mengingatkan anggota Umno supaya terus memberi sokongan dan bantuan kepada parti komponen Barisan Nasional (BN) walaupun mereka tidak bertanding di kawasan tersebut.

Ahmad Zahid berkata sebagai tonggak kerajaan BN, UMNO akan sentiasa melindungi hak agama dan bangsa lain walaupun Umno memperjuangkan nasib orang Melayu dan agama Islam.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS