Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Polis telah menerima tiga laporan polis mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa ada seorang pemimpin Umno sedang mengetuai gerakan menjatuhkan kerajaan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihak polis akan menyiasat laporan tersebut di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan.

"Kita telah menerima beberapa laporan polis berkenaan (kenyataan) timbalan perdana menteri bahawa ada percubaan untuk menggulingkan kerajaan.

"Jika kita mendapati ada unsur-unsur cubaan untuk menjatuhkan kerajaan dengan cara bukan mengikut perlembagaan, kita akan ambil tindakan," kata Khalid dalam satu sidang media di Bukit Aman hari ini.

Katanya, tiga laporan polis itu dibuat di Kuala Lumpur dan luar kawasan Kuala Lumpur.

Apabila ditanya sama ada benar terdapat pemimpin Umno yang merancang menggulingkan kerajaan, Khalid enggan mengulas mengenainya.

"Itu kena tanya pemimpin umno, polis tidak akan mencampuri urusan dalaman parti, jadi jangan tanya saya pasal parti," katanya.

Katanya polis akan menyiasat tidak kira siapa yang terlibat dalam cubaan untuk jatuhkan kerajaan, termasuk pemimpin politik, individu atau NGO.

Zahid kelmarin mendakwa terdapat seorang pemimpin Umno sedang mengetuai gerakan untuk menjatuhkan kerajaan melalui "pintu belakang" dengan sokongan ahli parlimen pembangkang.

Naib presiden Umno itu berkata, sebagai menteri dalam negeri beliau difahamkan mereka ini sedang menyediakan akuan bersumpah (SD) untuk menggulingkan kerajaan.

Tak siasat PetroSaudi

Sementara itu, Khalid  turut menjelaskan bahawa polis tidak menyiasat PetroSaudi kerana tidak menerima apa-apa laporan polis mengenainya.

"Siasatan kita terhadap kebocoran maklumat kertas pertuduhan itu masih lagi ditangguhkan tetapi siasatan mengenai kebocoran maklumat perbankan masih dijalankan.

"Polis tidak menyiasat PetroSaudi kerana kita tak terima apa-apa laporan tentang penyelewengan PetroSaudi di Malaysia.

"Kita menyiasat kebocoran maklumat dan tindakan kononnya penyelewengan Tabung Haji. Selain daripada itu PDRM tak siasat," jelasnya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS