Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda Umno siasat usul minta PM letak jawatan
Diterbitkan:  Aug 17, 2015 8:00 AM
Dikemaskini: 2:27 AM

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata pihaknya akan menyiasat dan meminta penjelasan dari Ketua Pemuda Umno Tampin berhubung usul ketua Pemuda cawangan Kampung Ulu Ladang dalam mesyuarat perwakilan semala yang meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan.

"Saya dimaklumkan ia adalah usul tergempar sebuah cawangan di Tampin dan bukannya pendirian Pemuda Umno Tampin...

"Biasalah dalam mesyuarat perwakilan kita (pemimpin) terpaksa berdepan dengan pelbagai usul termasuk berbentuk kritikan dan pedih tetapi tidak bermakna ia pendirian Pemuda Umno Tampin," katanya, lapor Bernama.

Sementara itu, Khairy mahukan identiti pemimpin Umno yang didakwa berhasrat bergabung dengan anggota Parlimen pembangkang untuk menggulingkan kerajaan didedahkan.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Bukit Katil di Melaka semalam, beliau pendedahan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tentang rancangan itu adalah serius dantindakan segera perlu diambil agar cubaan berkenaan dapat dihalang.

"Kita perlu tahu siapa individu tersebut lebih-lebih lagi ia melibatkan individu dalam Umno yang dikatakan hendak menggulingkan kerajaan dengan cara yang tidak sah.

"Cubaan itu dikaitkan dengan anggota parlimen dan selaku anggota parlimen saya juga ingin tahu siapakah individu tersebut supaya langkah berjaga-jagadapat diambil agar saya tidak dikaitkan dengannya," katanya yang juga menteri belia dan sukan.

Turut hadir ketua Umno bahagian Bukit Katil, Tan Sri Mohd Ali Rustam.

Ahmad Zahid membuat pendedahan itu semasa merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Ampang di Kuala Lumpur, kelmarin. 

Sementara itu, Khairy berkata penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) bagi merangka pelan pembiayaan politik merupakan jalan penyelesaian perkara tersebut dalam kalangan parti politik di negara ini.

"Saya memahami soal pembiayaan politik ini adalah hak ketua namun jawatankuasa tersebut dilihat mampu membawa satu sistem yang lebih telus dan menjadi garis panduan dalam isu ini untuk semua parti politik bukan sahaja Umno," katanya.

Sementara itu, beliau mengulangi bahawa kerajaan perlu menerangkan isu derma RM2.6 bilion yang diterima Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak secara berterusan agar penjelasannya diterima rakyat dan anggota Umno di peringkat akar umbi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS