Bagi sesetengah orang, tidak ada apa-apa yang unik apabila Umno Parit Sulong memainkan klip video Gus Mus bertanya dalam sinis melalui sajaknya 'Kau Ini Bagaimana Atau Aku Harus Bagaimana', 8 Ogos lalu.
Sehari kemudian Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula berdendang lagu lama – Tak Seindah Wajah – di Subang.
Lirik lagu itu memang indah. Tetapi apa yang lebih penting ialah, lirik berkenaan membawa maksud yang boleh ditafsir dengan pelbagai makna.
Sekarang musim Umno bahagian bermesyuarat. Biasalah. Cuma apabila dua perlakuan itu difahami konteksnya dengan keadaan semasa, sesuatu yang biasa boleh menjadi luar biasa.
Umno Parit Sulong gelisah kerana bekas menteri besar Johor Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan dari jawatan timbalan perdana menteri.
Jika rasa gelisah Umno Johor mahu dikatakan satu rahsia, ia adalah kategori rahsia terbuka. Hakikatnya ada, tetapi hanya diakui secara bisik-bisik.
Mukhriz pula adalah anak Tun Dr Mahathir Mohamad yang masih tinggi staminanya mengkritik Datuk Seri Najib Razak. Mukhriz juga antara tokoh kanan Umno yang menziarahi Muhyiddin pada hari beliau dipecat daripada jawatan kabinet Najib.
Sebenarnya Umno dan sastera atau puisi ini bukanlah aneh sangat. Dr Mahathir pernah diingat kerana puisi 'Perjuangan Yang Belum Selesai' beliau.
Ada maksud tersirat
Pada 10 Julai lalu Mahathir sekali lagi bersajak – di atas talian – apabila karya beliau, 'Malaysia Tanahairku' dipaparkan dalam blog rasminya.
Melalui sajak itu Dr Mahathir mempersoalkan sama ada bangsa Melayu akan kembali dijajah, dihina dan diperhambakan.
Kemudian ada pula Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan 'Kucari Damai Abadi'. Ekoran daripada sajak itu, ramailah orang Umno yang tiba-tiba menjadi sasterawan atau budayawan. Hinggakan, di Pulau Pinang diadakan majlis baca puisi bulanan di Hotel 1926.
Sajak keramat Dr Mahathir itu dibacakan beliau untuk kali pertama di khalayak ramai pada 4 Mei 1996, manakala Abdullah pada 2004.
Umno Parit Sulong dan Mukhriz hanyalah salah satu di antara rantaian ahli politik yang menggunakan wadah seni kata dan langgam bahasa untuk menyampaikan maksud tersirat masing-masing.
Bukannya tidak boleh untuk mereka bercakap terus terang menyatakan perasaan masing-masing. Dr Mahathir mungkin boleh berkata dia belum selesai dan puas menjadi perdana menteri ketika kebencian orang ramai semakin meningkat terhadapnya pada era reformasi.
Abdullah juga boleh berkata secara polos bahawa dia bukannya kemaruk kepada kuasa dan jawatan perdana menteri ketika orang Umno – dan Dr Mahathir sendiri – mendesak beliau supaya berundur.
Cuma mereka memilih wadah sastera untuk berkomunikasi bagi menyampaikan maksud hati masing-masing secara berlapis – dan mungkin tidak perlu berasa aib untuk meminta masa dan peluang untuk terus menjadi perdana menteri.
Pura-pura tak faham
Perkembangan semasa menunjukkan sesuatu yang positif kepada peminat sastera. Rupa-rupanya genre puisi ini turut digemari ahli Umno yang seramai tiga juta orang itu.
Sebagai parti utama yang memerintah, tentulah Umno boleh diharapkan untuk membaja serta menyuburkan bidang seni budaya dan sastera di negara ini.
Mungkin jika ada dana lain yang diterima Umno – sama ada dari dalam atau luar negara – ingatlah persatuan dan penggiat sastera di negara ini secara keseluruhan. Asingkan barang sejuta dua ringgit kepada mereka supaya tidaklah sesekali sasterawan itu nampak begitu daif.
Tidak kurang pentingnya, Biro Tata Negara juga perlu lebih lunak menyantuni gerakan indie yang terpaksa menjadi indie – sama ada kerana kerenah birokrasi, kronisme atau kekurangan dana.
Suka atau tidak, sajak Dr Mahathir dan Abdullah adalah bayangan keunikan bangsa Melayu.
Itulah antara kelebihan Melayu, suka berkias dan berseloka untuk menyampaikan maksud. Bahawa apa yang disampaikan itu biasanya dapat ditafsir orang ramai memang tidak dinafikan, tetapi pada masa sama, kias dan seloka itu juga kadang-kadang melambatkan tindakan.
Walaupun ada sesetengah pihak tidak memahami atau pura-pura sukar memahami, komunikasi secara berlapis ini kadang-kadang memberi faedah kepada pihak yang ditujukan sajak atau puisi berkenaan.
Tiada segan-silu
Ketika Dr Mahathir terus mengkritik Datuk Seri Najib Razak dan kerajaannya, belum lagi ternampak bahawa perdana menteri sekarang terdesak untuk bersajak bagi meluahkan rasa hati beliau.
Sebaliknya, apa yang kita boleh lihat, Najib tanpa segan-silu mengaku bahawa dirinya seorang pahlawan Bugis.
Sementara itu, barangkali kita boleh menunggu jika ada mana-mana bahagian Umno atau pemimpin kanan parti itu akan tergerak hati mereka memilih sajak Allahyarham Rendra, 'Pertemuan Mahasiswa':
Matahari terbit pagi ini
mencium bau kencing orok di kaki langit
melihat kali coklat menjalar ke lautan
dan mendengar dengung lebah di dalam hutan.
Lalu kini ia dua penggalah tingginya.
Dan ia menjadi saksi kita berkumpul di sini memeriksa keadaan.
Kita bertanya:
Kenapa maksud baik tidak selalu berguna?
Kenapa maksud baik dan maksud baik bisa berlaga?
Orang berkata “Kami ada maksud baik“
dan kita bertanya: “Maksud baik saudara untuk siapa?”
Ya! Ada yang jaya, ada yang terhina
Ada yang bersenjata, ada yang terluka.
Ada yang duduk, ada yang diduduki.
Ada yang berlimpah, ada yang terkuras.
Dan kita di sini bertanya:
“Maksud baik saudara untuk siapa?
Saudara berdiri di pihak yang mana?”
AL-ABROR YUSUF anggota sidang redaksi Malaysiakini.