Mangsa kemalangan yang mengalami kecederaan muka yang serius kini mempunyai pilihan untuk membetulkan kedudukan wajah kepada asal menerusi implan muka cetak-3D.
Dr Mohd Nazimi Abd Jabar, pakar Bedah Mulut dan Maksilofasial Universiti Kebangsaan Malaysia telah menggunakan kaedah ini untuk merawat seorang pesakit yang terlibat dalam kemalangan kereta yang teruk.
Pesakit itu mengalami kecacatan muka akibat kemalangan.
Berganding bahu dengan Materialise Malaysia Sdn Bhd, perintis dalam percetakan 3D, kaedah ini adalah yang pertama di Malaysia dalam menggunakan implan 3-D untuk memperbaiki fraktur muka.
Menurut Dr Mohd Nazimi, dengan menggunakan perisian perancangan 3D dan alat titanium cetak-3D yang ditempah khas, beliau mampu membina semula tengkorak di sekeliling mata kiri pesakit.
Prosedur demikian juga membantu mengurangkan kesakitan yang dialami pesakit akibat sakit kepala yang kuat.
"Kalau menggunakan X-ray yang mudah, maklumat yang diperoleh terhad dan tidak cukup untuk mendapatkan analisis yang tepat tentang patologi pesakit dan menggambarkan sejauh mana pertumbuhan tumor atau kerosakan ke atas tulang pesakit," katanya.
Guna perisian khas
Bagaimanapun dengan 3D, beliau memberitahu Bernama, doktor boleh memahami dengan lebih baik anatomi unik pesakit serta hubungan antara tulang, tisu lembut dan struktur lain.
Dr Mohd Nazimi berkata beliau bekerja rapat dengan jurutera di OBL, anak syarikat Materialise Malaysia Sdn Bhd, untuk menggambarkan anatomi pesakit dalam bentuk 3D dengan menggunakan perisian khas.
"Kaedah ini juga melibatkan penggunaan data MRI atau CT pesakit dan ini membolehkan doktor mencari pendekatan pembedahan yang terbaik," jelasnya.
Prosedur pembedahan dirancang bersama dengan jurutera klinikal OBL dan implan direka bentuk serta dihasilkan oleh OBL sesuai dengan ukuran tepat muka pesakit.
Implan 3D-cetak bukan sahaja memberi sokongan yang baik di sekitar lesung soket mata bagi memulihkan anatomi tetapi ia juga menyerupai ciri sebenar tulang.
Berbanding dengan implan muka tradisional, beliau berkata, implan 3D-cetak adalah lebih berliang serta ringan dan dalam masa yang sama mengekal kekuatan optimum yang tidak menyusahkan pesakit.
Rekabentuk khas
"Ia juga memudahkan pertumbuhan semulajadi tulang dan direka bentuk untuk menangani perubahan suhu. Ia juga tahan impak.
"Satu perkara lagi, memandangkan ia direka bentuk khusus untuk seseorang pesakit, ia memudahkan saya untuk membuat implan dan ini menjimatkan masa di bilik pembedahan di samping memberi hasil yang lebih baik," tambahnya.
Menurut Dr Mohd Nazimi, profesion pembedahan sedang mengalami perubahan dan lebih mengarah kepada penggunaan teknologi.
Sehubungan itu, doktor perlu sentiasa peka dengan kaedah serta pilihan baru.
"Sebagai pakar bedah, kalau kita tahu dengan tepat ukuran untuk insisi dan lokasi kerosakan, ini boleh membantu menghasilkan pembedahan yang baik.
"Teknologi perancangan 3D serta percetakan ini membantu pakar bedah seperti saya membuat gambaran dan boleh menjangkakan hasilnya," katanya.
- Bernama