1MDB hari ini menegaskan bahawa tiada dananya disalurkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Syarikat milik Kementerian Kewangan itu berkata demikian sebagai reaksi kepada laporan Wall Street Journal (WSJ) yang mendakwa hampir AS$700 juta dimasukkan ke dalam akaun dipercayai milik Najib.
“Merujuk kepada laporan media hari ini, 1MDB ingin menjelaskan bahawa syarikat ini tidak pernah memberikan sebarang dana kepada perdana menteri.
“Untuk mencadangkan sebaliknya, seperti dilakukan sesetengah media, adalah amat tidak bertanggungjawab dan percubaan untuk melemahkan syarikat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Bernama melaporkan 1MDB sebagai berkata pendedahan terbaru itu membangkitkan kebimbangan mengenai kesahihan beberapa dokumen 'bocor' yang digunakan beberapa saluran media dan portal seperti Sarawak Report .
Tujuannya, kata 1MDB, untuk memperdayakan orang ramai selain mewajarkan tuduhan yang dibuat terhadap syarikat itu serta kerajaan.
"Sehubungan itu, kami amat terkejut bagaimana dokumen sedemikian, yang kewujudan dan ketepatannya belum disahkan secara umum, terus digunakan sebagai asas bagi tuduhan tidak berasas terhadap 1MDB," katanya.
1MDB turut menegaskan ia sedang memberi kerjasama bagi beberapa siasatan oleh pihak berwajib termasuk Ketua Audit Negara, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Bank Negara Malaysia.
"Pihak berwajib berkenaan mempunyai segala maklumat berkaitan dan 1MDB telah meminta semua pihak menunggu hasil siasatan mereka sebelum terus membuat dakwaan serta membuat keputusan secara melulu," katanya.