Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Jangan ambil pelarian Rohingya bekerja'
Diterbitkan:  Jun 25, 2015 5:22 PM
Dikemaskini: 9:32 AM

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata perbuatan itu merupakan satu kesalahan

Majikan di negara ini diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan menggaji pelarian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) termasuk pelarian Rohingya, sebagai pekerja semata-mata disebabkan upah yang murah.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata perbuatan itu merupakan satu kesalahan dan majikan yang berbuat demikian boleh dikenakan tindakan undang-undang.

"Kita sudah ada undang-undang pengambilan pekerja asing melalui Imigresen dan sebagainya yang menguruskan kemasukan pekerja asing ini. Jadi mengapa kita perlu ada sistem yang lain?

"Nanti semua pendatang menganggap diri mereka pelarian sedangkan pelarian ini (UNHCR) ialah orang yang tertindas di negara mereka atas beberapa sebab," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-29 Koperasi Pekebun Kecil Daerah Maran dan Kuantan, di Kompleks Rakan Muda Maran.

Beliau berkata Akta Imigresen 1959/63 secara jelas tidak membenarkan majikan menggaji pekerja asing tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Katanya walaupun tidak dibenarkan bekerja di negara ini kerana dikhuatiri boleh menimbulkan pelbagai implikasi lain, pelarian UNHCR termasuk Rohingya tetap diberikan bantuan sementara atas dasar kemanusiaan.

Pada masa ini, Ismail berkata terdapat kira-kira 153,000 pelarian UNHCR di negara ini dengan sebahagian besar dari Myanmar.

Dalam masa yang sama, katanya terdapat 1.9 juta pekerja asing berdaftar secara sah, manakala kira-kira tiga juta bekerja secara haram dengan majoritinya warga Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan Thailand.

Beliau berkata pengambilan pekerja asing secara sah dilakukan menerusi pelbagai prosedur ditetapkan termasuk dari aspek kesihatan serta peluang kepada penduduk tempatan.

"Kita mesti beri keutamaan kepada pekerja tempatan sebelum mengambil pekerja asing yang mana kita iklankan dalam Job Malaysia dan apabila tiada pekerja tempatan, barulah pekerja asing ini kita beri ruang," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS