Merujuk kepada berita bertajuk "DAP mahu bina masjid di Kelantan" siaran berita maya Malaysiakini bertarikh 13 Jun 2015, Gabungan Impian Kelantan ingin menegaskan bahawa ia hanyalah tawaran daripada Koordinator Projek Impian DAP, Anthony Loke yang juga ahli parlimen Rasah semasa Program Penyerahan Rumah Kg Pasir Tumboh.
Ia merupakan reaksi spontan kepimpinan DAP selepas Iman masjid Kampung Pasir Tumboh menyebut bahawa bantuan kewangan masih diperlukan untuk membaiki masjid pasca banjir.
Malah ulasan seterusnya daripada Anthony bahawa ia bergantung kepada penerimaan masyarakat setempat dan persoalan hukum yang mungkin timbul sekiranya tawaran itu diterima, menunjukkan sensitiviti yang cuba dijaga oleh pihak Projek Impian DAP, yang ingin menekankan bantuan kemanusiaan itu merentasi sempadan politik dan apa jua pemisah yang boleh ditimbulkan.
Apatah lagi duit berkenaan adalah dari kutipan derma orang ramai dan tidak melibatkan sebarang sumber haram termasuk judi.
Pihak Gabungan Impian ingin mengucapkan terima kasih di atas tawaran berkenaan, namun kami ingin menyatakan bahawa sumber lain dari sumbangan orang ramai telah dikenal pasti untuk menyempurnakan baik pulih masjid itu dalam kadar yang segera memandangkan Bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi.
Juga mengambil peluang mengucapkan selamat menunaikan ibadah di bulan Ramadan kepada semua rakan komponen yang beragama Islam.
DR ROSLI ALLANI ABDUL KADIR setiausaha Gabungan Impian Kelantan.
