Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Beg terbesar di dunia, sofa terpanjang di M'sia'
Diterbitkan:  May 18, 2015 7:53 AM
Dikemaskini: May 18, 2015 8:20 AM

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bekerjasama dengan sebuah syarikat latihan kraftangan, Mostwell Sdn Bhd, untuk menghasilkan beg tangan terbesar di dunia dan sofa terpanjang di Malaysia,   kata Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib

Katanya, ia menggunakan pakaian jeans dan kemeja terpakai yang masing-masing akan dicatat dalam 'Guinness World Records' dan 'Malaysia Book of Records'.

"Beg itu boleh memuatkan dua buah kereta Myvi kerana panjangnya ialah 25 kaki, lebar 10 kaki dan tinggi 18 kaki.

"Dijangka siap pada 29 Mei ini dan apabila siap kelak, orang ramai boleh masuk ke dalam beg itu untuk melihat ribuan jenis beg kecil dari bahan terpakai yang akan dipamerkan di dalamnya," katanya berhubung program Promosi dan Publisiti Local Agenda 21 (LA21).

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas merasmikan program LA21 KL di ibunegara semalam.

"Ini merupakan sebahagian daripada kempen kesedaran bertujuan meningkatkan kesedaran dan minat orang ramai supaya lebih kreatif menggunakan bahan kitar semula, sekaligus menghasilkan produk baharu yang bermanfaat untuk semua," katanya.

Sementara itu, menurut Pengasas dan Pengarah Urusan, Mostwell, Fully Chye Goet Lee, bagi menyiapkan beg tangan terbesar, memerlukan penglibatan sebanyak 5,000 orang dan sofa terpanjang pula melibatkan 1,000 orang, manakala usaha untuk mengumpul kemeja dan seluar jeans terpakai dilakukan sejak lapan bulan lepas.

"Setiap orang hanya perlu menderma dua helai kemeja atau uniform terpakai bagi membolehkan kita mengumpul sebanyak 10,000 helai kemeja untuk menyiapkan beg tangan terbesar manakala kain jeans terpakai sepanjang 280 meter diperlukan untuk membalut sofa sepanjang 24.384 meter," katanya.

Sementara itu, Ahmad Phesal berkata DBKL bercadang menjadikan Panggung Bandaraya di Jalan Raja di ibunegara sebagai Galeri Rakyat Kuala Lumpur yang akan mempamerkan bahan artifak berkaitan dengan perkembangan sejarah ibu negara ini.

Katanya, galeri yang dijangka akan beroperasi pada tahun depan akan memanfaatkan bahan artifak warisan sejarah ibu kota bagi tujuan pendidikan masyarakat ke arah pembinaan jati diri dan pembangunan bangsa.

"DBKL memperuntukkan hampir RM30 juta untuk pengubahsuaian dalaman bangunan Panggung Bandaraya yang terletak di bangunan lama Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

"Sebelum ini, bangunan tersebut merupakan pejabat Datuk Bandar... Kita akan buat pengubahsuaian untuk dijadikan Galeri Rakyat selain dijadikan semula sebagai pejabat Datuk Bandar khusus untuk menyambut tetamu dari luar negara," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai bahan-bahan artifak yang berkaitan dengan sejarah Kuala Lumpur supaya mendermakan kepada galeri ini untuk disimpan dan dipamerkan, sekali gus menjadikan galeri ini sebagai salah satu produk pelancongan negara.

Bangunan Panggung Bandaraya berusia lebih 100 tahun itu telah diklasifikasi sebagai antara 22 bangunan awam yang diwartakan sebagai bangunan warisan di bawah Akta Antikuiti dan antara panggung yang tertua di Malaysia. 

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS