Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini meminta orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau kesimpulan mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tanpa bersandarkan maklumat yang akan diumumkan Ketua Audit Negara, tidak lama lagi.
Dalam catatan terbarunya di blog NajibRazak.com bagi menjawab tuduhan mengenai 1MDB, Najib berkata, laporan itu akan memperincikan butiran kewangan syarikat pelaburan berkenaan.
"Kita semua mahukan jawapan yang terperinci tetapi lebih wajar kita membiarkan juruaudit melaksanakan tugas mereka dan memaklumkan dengan jelas apakah keadaan sebenarnya.
"Jika kita membuat kesimpulan terlebih dulu, kita hanya melemahkan mereka, sepertimana dilakukan ramai yang lain. Ini bukanlah prosedur yang betul," katanya.
Tegas Perdana Menteri, jika rakyat ikhlas mencari kebenaran di sebalik isu membabitkan 1MDB, mereka seharusnya mendapatkan maklumat daripada sumber sahih (seperti Ketua Audit Negara) dan bukannya diperolehi dari portal berita pihak ketiga atau mana-mana blog dalam talian yang mempunyai agenda tersembunyi.
Malah, kata Najib, adalah tidak adil bagi segelintir ahli politik untuk 'menghukum kerajaan dalam mahkamah persepsi awam' sebelum fakta sebenar diumumkan pihak berkuasa yang sahih seperti Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dwipartisan.
"Apabila kebimbangan (mengenai 1MDB) dibangkitkan, saya mahukan penjelasan yang terperinci dan telah mengarahkan Ketua Audit Negara dan PAC menyiasat 1MDB.
"Sesiapa yang didapati bersalah melakukan sebarang penyelewengan atau salah laku akan dibawa ke muka pengadilan," tegasnya.
Sementara itu, dalam laporan berita terbaru, 1MDB berkata lembaga pengarah dan barisan pengurusannya memberi kerjasama penuh kepada pihak Ketua Audit Negara, Polis Diraja Malaysia dan PAC bagi membuat penilaian terhadap syarikat berkenaan.
-Bernama