Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menantu kepada presiden PAS Akmal Kamarudin mengakui Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria pernah berkata mahu beliau menjadi ketua Pemuda PAS dalam satu program di Gopeng.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu tidak perlu dipandang berat kerana ia hanya “gurauan”.

"Oh, yang itu dah lama dah. Dah dua tiga bulan lepas.

“Ada satu program di Gopeng. Pesuruhjaya ada bergurau. Saya pun kata tak mahu ketika itu. Kalau itu hendak dijadikan bukti, dah tak ada isu dah,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan tersebarnya audio mendakwa Razman merujuk Akmal sebagai bakal ketua pemuda PAS Perak dan dianggapnya sebagai gurauan yang "sudah lama berlaku".

Hari ini calon pencabar Akmal, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar ( atas ) mengumum menarik diri bertanding jawatan itu kerana mendakwa Razman berat sebelah.

Razman bagaimanapun menafikannya dakwaan itu dan meminta bukti dikemukakan.

'Saya tiada kontroversi'

Mohd Fakrulrazi yang juga bendahari Pemuda PAS pusat mendakwa sekurang-kurangnya 10 calon - dirujuk G10 - bertindak mengikut jejaknya dan ia dibuat bagi memberi laluan kepada Akmal bekerjasama dengan Razman.

Mengesahkan akan bertanding jawatan itu, Akmal berkata beliau hanya mengetahui layak bertanding selepas mendapat pencalonan besar dari "hampir semua kawasan Pemuda yang mempunyai anggota yang ramai".

Pada masa yang sama, Akmal berkata, beliau tidak tahu menahu siapa bakal pencabarnya dan inilah kali pertama mendengar ada calon menarik diri bertanding jawatan tersebut.

Beliau turut menepis dakwaan menjadi calon pilihan disebabkan status sebagai menantu Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Tak semua kenal saya sebagai menantu Hadi. Ada kepimpinan PAS di Perak baru tahu. Saya juga tak ada kontroversi apa-apa," katanya yang juga timbalan ketua Pemuda negeri itu.

Ekoran penarikan tiga calon ketua pemuda negeri termasuk Mohd Fakrulrazi membolehkan Akmal mengetuai sayap negeri itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS