Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Umno cawangan Guar Jering Jaya di Permatang Pauh hari ini mengumumkan pembubaran cawangan itu kerana mendakwa hilang kepercayaan kepada Umno bahagian.

Bekas ketua Umno cawangan itu, Asri Ahmad berkata, semenjak 2006, cawangan Guar Jering Jering Jaya sering diabaikan oleh Umno kawasan Permatang Pauh.

Asri mendakwa, Umno cawangan itu sering diabaikan tanpa sebarang kebajikan dan peruntukan yang diberikan oleh Umno kawasan mahupun negeri.

"Hari ini saya bersama rakan-rakan ahli cawangan saya turun ke Pusat Khidmat PKR atas dasar kami dah hilang kepercayaan kepada Umno Permatang Pauh dan juga kepimpinan pusat sendiri.

"Dah lama kami diabaikan sejak cawangan kami ditubuhkan pada 2006. Ini mungkin satu rahmat pada kami. Ini janji kosong BN.

"Dan saya ambil kesempatan isytiharkan dengan sukarelanya ingin bubarkan Umno cawangan," katanya yang hadir bersama kira-kira 15 orang bekas ahli cawangan itu pada sidang media di Pusat Media PKR di Permatang Pauh.

Mereka juga mempamerkan kain rentang menolak cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dalam sidang media itu.

Ia tergambar kain rentang dipaparkan yang bertulis:

“Rakyat jangan undi BN. BN parti hipokrit. GST= Geng Suka Tipu.”

Turut hadir pada sidang media itu ialah exco dan juga ADUN Seberang Jaya Dr Afif Bahardin.

Selain itu, Asri turut menambah, sebelum ini pihaknya telah menghantar surat kepada Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Mansor untuk membuat aduan.

Bagaimanapun, tiada sebarang maklum balas yang diterima oleh Umno cawangan itu, katanya lagi.

Sehubungan itu, Asri juga mengumumkan kesemua ahli cawangan itu termasuk Pemuda dan Wanita Umno akan menyertai PKR.

Asri berkata, mereka turut akan mendirikan bilik gerakan PKR di kawasan itu sempena PRK Permatang Pauh.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS