Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sirul mungkin dibayar untuk tuding Najib?
Diterbitkan:  Apr 21, 2015 4:57 PM
Dikemaskini: 9:13 AM
Ketika kritikan Tun Dr Mahathir terhadap Datuk Seri Najib Razak belum menampakkan tanda akan berhenti, sebuah laman sesawang pro-Umno membangkitkan kemungkinan bekas perdana menteri itu akan bekerjasama dengan Sirul Azhar Umar.

Menurut penulis di MyKMU.net, tidak mustahil bekas anggota polis yang disabitkan kesalahan membunuh itu dibayar untuk menuding jari kepada Najib.

"Melihat kecenderungan Tun Mahathir cuba masuk campur dalam kes pembunuhan model Mongolia, Altantunya Shariibu sebelum ini, termasuk berjumpa keluarga salah seorang pembunuh wanita tersebut Sirul Azhar Umar, tidak mustahil selepas ini Sirul akan dibayar untuk mengaku penglibatan Datuk Seri Najib dalam pembunuhan tersebut.

Kepada Sirul, baginya sudah tidak ada rugi apa-apa sebab hukuman mati telah pun dijatuhkan.  Kalau kerajaan Australia menerima permohonannya untuk kekal di negara itu, lagilah ramalan ini akan menjadi kenyataan kerana hidup di Australia memerlukan wang," kata penulis kolum berkenaan.

Sebelum ini MyKMU.net meramalkan Dr Mahathir akan menyasarkan kritikannya kepada isteri Najib, Datin Seri Rosmah Manor.

Semalam, untuk kali pertama Dr Mahathir menyebut mengenai Rosmah untuk kali pertama dalam blog beliau.

Terdahulu, Dr Mahathir menggesa polis menyiasat dakwaan Sirul bahawa dia bertindak membunuh Altantuya atas arahan seseorang.

Kata penulis berkenaan, persoalan sama ada pengakuan Sirul itu nanti betul atau salah tidak penting kerana yang utama ialah menimbulkan persepsi dan menyokong "dakwaan palsu" Dr Mahathir bahawa Najib pemimpin yang banyak skandal.

Lagi pun, katanya, di Malaysia ini persepsi sentiasa mendahului fakta dan Dr Mahathir sangat maklum mengenai hakikat itu.

"Sama ada telahan ini akan (sekali lagi) menjadi kenyataan atau tidak, hanya masa yang akan menentukan.  Tapi percayalah, tidak ada apa yang mustahil bila bercakap tentang orang pada usia Dr Mahathir sekarang. Penulis pernah tengok lebih teruk daripada itu pun," katanya.

Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS