Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid hari ini berkata perhimpunan menuntut salib sebuah gereja di Petaling Jaya diturunkan semalam tidak melibatkan unsur hasutan.

Katanya juga, kejadian itu tidak menyentuh isu agama sebaliknya ia hanya merupakan isu masyarakat tempatan.

“Dalam isu di Petaling Jaya itu, kami tidak melihat apa-apa isu yang berbentuk menghasut.

“Ini bukan isu menyentuh agama atau agama Kristian. Ini cuma bantahan masyarakat di sana tentang kedudukan gereja itu.

“Salib itu diturunkan adalah di atas permintaan masyarakat dan disetujui oleh paderi itu sendiri.

“Tidak ada kekerasan digunakan semasa menurunkan salib itu,” kata Khalid selepas melancarkan program PRIMA kepada warga PDRM di Bukit Aman hari ini.

Jamin tak berat sebelah

Beliau juga berkata polis melihat bantahan isu dibuat dalam bentuk flashmob atau himpunan sekejap oleh penduduk tanpa  perancangan oleh mana-mana pihak.

“Pihak kami telah merujuk perkara ini kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan kerajaan negeri.

“Mereka perlu melihat apa juga isu yang dibangkitkan oleh masyarakat di situ untuk menyelesaikan perkara itu,” kata Khalid.

Sambil menegaskan sentiasa bertindak tanpa berat sebelah, Khalid berkata telah menyemak kehadiran abangnya Datuk Abdullah di tempat kejadian.

“Dia sebagai ketua masyarakat di kawasan itu, tanggungjawabnya adalah menenangkan penduduk di situ daripada menjadi lebih agresif.

“Itulah peranan yang diambil oleh abang saya,” jelasnya.

Beliau juga menyatakan komitmen untuk bertindak tanpa berat sebelah sekali pun melibatkan adik beradiknya dalam sesuatu kes.

“Kalau dia adik beradik saya ke, anak saya ke, itu tidak menjadi hal, itu adalah menjadi kewajipan kami sebagai penguatkuasa untuk mengambil tindakan tanpa apa-apa tolak ansur,” katanya.

Tiada laporan polis diterima berhubung insiden itu, kata Khalid lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS