Pemimpin Umno Petaling Jaya Selatan mendakwa, demonstrasi bagi membantah tindakan memasang lambang salib di sebuah gereja di Taman Medan semalam tidak patut dianggap menghasut.
Ketua sayap Wanita Umno bahagian tersebut, Munaliza Hamzah berkata tiada seorangpun meninggal dunia atau mengalami kecederaan akibat demonstrasi semalam.
"Walaupun kami pergi ke sana untuk berdemonstrasi, tiada seorangpun mati, tiada seorangpun cedera dan tiada seorangpun yang marah selepas itu,” katanya.
Malah, demonstrasi oleh kumpulan anti-Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) lebih bersifat menghasut daripada demonstrasi ke atas gereja tersebut, katanya.
Menurutnya, ia tidak bersifat menghasut kerana dialog di antara wakil gereja dan penduduk dibuat dengan sopan santun dan penuh hormat.
“Kaim tidak lakukan apa-apa perkara menghasut. Kami cuma mahu minta tolong dari gereja untuk turunkan salib mereka,” kata Munaliza kepada Malaysiakini.
"Kami cuma hantar tiga wakil untuk dialog (selepas demonstrasi) dengan kehadiran polis Cawangan Khas.
“Kami bersopan dengan mereka, dan mereka juga begitu,” katanya yang menambah, anggota polis yang hadir pasti dalam mengesan sekiranya unsur hasutan timbul dalam demonstrasi atau dialog tersebut.
Katanya, seorang wakil gereja bersetuju untuk menurunkan salib tersebut selepas perbincangan selama 10 minit.
Menurutnya lagi, ini menunjukkan bahawa pihak gereja menghormati pandangan para penduduk.
"Tidakkah meminta orang turun ke jalan untuk (membantah GST) satu perkara menghasut?,” soal Munaliza.