Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno Kedah sokong penuh PM dan Mukhriz
Diterbitkan:  Apr 18, 2015 8:15 PM
Dikemaskini: Apr 19, 2015 9:41 AM

Badan Perhubungan Umno Kedah hari ini menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga presiden Umno dan Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang membuat kenyataan itu turut meminta Mukhriz membatalkan cadangan untuk memberikan kenyataan pada 24 April ini di Kuala Lumpur.

"Mesyuarat juga bersetuju supaya Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak membuat sebarang kenyataan berkaitan isu ini kerana kami memahami situasi beliau. Kita bersetuju untuk membatalkan mesyuarat Perhubungan Umno Kedah pada 24 April itu," katanya.

Terdahulu, badan perhubungan Umno Kedah mengadakan mesyuarat khas di kediaman rasmi Mukhriz di Seri Mentaloon di Alor Setar yang turut dihadiri oleh ADUN daripada Barisan Nasional (BN). 

Mesyuarat itu bermula pada 12 tengah hari dan berakhir kira-kira dua jam kemudian dan dipengerusikan sendiri oleh Mukhriz, yang juga pengerusi badan perhubungan itu.

Mukhriz tidak berada di sidang media itu.

Kesemua ketua Umno bahagian hadir pada mesyuarat khas hari ini kecuali Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling), Datuk Seri Jamil Khir Baharom (Jerai), dan Datuk Mohd Johari Baharom (Kubang Pasu).

ADUN BN yang tidak hadir ialah Datuk Ahmad Lebai Sudin (Bukit Lada).

Menurut Ahmad Bashah, mereka yang tidak menghadiri mesyuarat hari ini kerana berada di luar negara dan telah menghantar wakil masing-masing. 

Katanya, mesyuarat khas hari ini juga mengambil ketetapan menghormati pandangan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan mahukan beliau memberi masa kepada Najib untuk menangani perkara yang dibangkitkannya.

Ahmad Bashah yang juga timbalan menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan berkata, mesyuarat juga menyokong tindakan perdana menteri meminta Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) melakukan audit terhadap syarikat pelaburan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), antara isu utama yang ditimbulkan Dr Mahathir.

Tentang perpaduan Umno Kedah, katanya, soal itu tidak berbangkit dan mesyuarat khas menyatakan perpaduan UMNO negeri tetap kukuh dan menyokong

sepenuhnya kepimpinan perdana menteri dan Mukhriz sebagai menteri besar.

Mengenai sama ada Umno Kedah akan mengambil tindakan terhadap ADUN Bukit Lada mengenai kenyataannya mahukan Mukhriz meletak jawatan sekiranya gagal menyokong perdana menteri, beliau berkata, itu terpulang pada Ibu Pejabat Umno.

Menurutnya, kenyataan Ahmad itu merupakan kenyataan peribadi dan tidak mewakili mana-mana pihak lain.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS