Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM arah ketua audit siasat 1MDB
Diterbitkan:  Mar 4, 2015 7:27 PM
Dikemaskini: 2:27 PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengarahkan Jabatan Akauntan Negara untuk mengaudit akaun-akaun 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata laporan audit itu akan diserahkan untuk diperiksa secara telus oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Kabinet juga sudah dimaklumkan tentang arahan Najib itu.

"Jika ada sebarang salah laku, undang-undang akan dikuatkuasa tanpa sebarang pengecualian," kata PMO.  

Arahan itu dikeluarkan selepas Najib memanggil 1MDB dan firma audit mereka, Deloitte, bertemu Jemaah Menteri hari ini.

Sementara itu, firma pelaburan kerajaan itu petang ini turut mengeluarkan kenyataan mengalu-alukan arahan Najib itu.

"Kami akan bekerjasama sepenuhnya dengan ketua audit negara dan berharap agar hasil daripada ini akan menamatkan segala spekulasi," kata Presiden 1MDB Arul Kanda.

Dalam kenyataannya, Arul turut menyifatkan bahawa "serangan" terhadap mereka mutakhir ini "bersifat politik" dan "berpotensi mengancam ekonomi".

"Ini adalah usaha yang diatur dengan sengaja untuk menjejaskan syarikat ini dengan menyebarkan tuduhan dan spekulasi tidak berasas yang mempunyai potensi menjejaskan ekonomi," katanya.

PAC sebelum ini mengenal pasti isu-isu utama, termasuklah sumber dana RM2 bilion yang digunakan 1MDB untuk membayar balik pinjaman dan juga suntikan dana baru RM3 bilion.

Pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata PAC menggesa siasatan ke atas perjanjian 1MDB dengan syarikat PetroSaudi dan status wang yang disimpan di Cayman Islands.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS