Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sirul pertimbang bongkar kes Altantuya
Diterbitkan:  Feb 17, 2015 5:43 PM
Dikemaskini: Feb 18, 2015 1:31 PM

dikemaskini Selepas ke Australia, bekas anggota polis elit Sirul Azhar Umar kini mempertimbangkan menjawab persoalan terbesar sekitar pembunuhan Altantuya Shaariibuu – apa yang berlaku pada wanita itu?

Bulan lalu Mahkamah Persekutuan menyabut Sirul dan seorang lagi bekas anggota pasukan elit tersebut, Azilah Hadri dengan kesalahan membunuh dan menjatuhkan hukuman mati ke atas kedua-duanya.

Dalam perbualan telefon dengan Malaysiakini baru-baru ini, Sirul mendedahkan bahawa beberapa media Australia telah pun memohon sesi wawancara “terus terang” dengannya.

“Saya belum putuskan untuk ditemubual,” katanya.

Ditanya sama ada beliau sedia mendedahkan segala-galanya jika wawancara itu menjadi kenyataan, bekas anggota polis itu menjawab:

“Ya, saya pertimbangkan kemungkinan ini dengan serius.”

Difahamkan bahawa beberapa stesen televisyen telah berhubung dengan Sirul ( atas ), yang sedang ditahan pihak imigresen negara itu di Sydney.

Rundingan antara Sirul dan stesen TV masih berjalan.

'Bertindak atas arahan'

Sementara itu, Sirul memberitahu bahawa dia tidak kenal mangsa pembunuhan atau Abdul Razak Baginda – penganalisis politik dan rakan dekat Datuk Seri Najib Razak yang terlepas dalam kes itu.

“Saya bertindak atas arahan. Orang penting yang mempunyai motif masih bebas,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

“Ia bukan bermakna saya tidak sayangkan (pasukan) polis, tetapi saya bertindak atas arahan,” tegasnya.

Menjawab soalan, Sirul berkata keadaannya OK di pusat tahanan dan dia dibenarkan menggunakan telefon dan Internet.

“Saya biasanya baca Malaysiakini , Utusan (Malaysia) dan Harakah untuk ikuti perkembangan di kampung halaman,” katanya.

Dari jauh, duda 43 tahun itu bagaimanapun bimbangkan dua anak remajanya di Malaysia yang berhenti sekolah, akibat kesnya.

Kambing hitam

Bulan lepas, Sirul dan Azilah dijatuhi hukuman mati apabila didapati bersalah dalam kes tersebut di Mahkamah Persekutuan.

Terdapat beberapa persoalan di sebalik kes itu, termasuk motif pembunuhan itu yang masih misteri.

Najib, ketika masih timbalan perdana menteri, bersumpah dengan nama Allah bahawa beliau tiada kaitan dengan kes itu.

Bekas pembantunya, DSP Musa Safri, yang memberitahu Azilah untuk membantu Razak Baginda ( kanan ) pada malam pembunuhan itu, tidak dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan.

Dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Sirul mendakwa dia dijadikan kambing hitam untuk “melindungi rancangan mereka”.

Sirul tidak hadir di Mahkamah Persekutuan ketika keputusan disampaikan kerana berada di Australia.

Undang-undang Austalia tidak membenarkan ekstradisi individu yang berdepan hukuman mati ke negara asal.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS