Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News

Pengarang kanan Harakah , Zulkifli Sulong, yang dituduh menerbitkan rencana bersifat menghasut hari ini diberitahu tidak menterjemah tulisan tersebut. Pengawai penyiasat, ASP Goh Lee Shen, memberitahu tulisan asal berbahasa Inggeris itu diterjemahkan oleh pemberita akhbar PAS tersebut.

Goh menjawab "ya" apabila ditanya peguam bela, Zamani Ibrahim bahawa pemberita, dan bukannya Zulkifli, yang menterjemahkan tulisan itu ke Bahasa Malaysia.

Bagaimanapun, identiti pemberita itu tidak dapat dipastikan.

Tulisan yang dikatakan disediakan oleh Timbalan Presiden Parti KeADILan Nasional, Dr Chandra Muzaffar, mendakwa wujud konspirasi yang diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dalam pendakwaan bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Apabila ditanya Zamani, Goh memberitahu mahkamah bahawa beliau telah meminta nama pemberita itu tetapi Zulkifli tidak memaklumkannya.

Bagaimanapun ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya apakah beliau pernah bertanya nama pemberita Harakah itu dalam soal-siasat terhadap pengarang itu, Goh menjawab "saya tidak ingat."

Goh juga memberitahu, artikel asal berbahasa Inggeris diterima Zulkifli daripada editor bahasa "English Section" Harakah, Abdul Rahman Koya melalui faksimili.

"Setelah menerima fax (faksimili) daripada Abdul Rahman Koya, beliau (Zulkifli) telah meminta pemberita-pemberitanya menukar kepada bentuk rencana," beritahu Goh.

Bagaimanapun, kedua-dua salinan asal - yang dimiliki Abdul Rahman dan Zulkifli - telah dimusnahkan, kata Goh kepada mahkamah, menjelaskan siasatannya terhadap dua wartawan kanan Harakah itu.

Ketika ditanya apakah perenggan akhir yang dituduh bersifat menghasut itu terdapat pada rencana berbahasa Inggeris akhbar yang sama, Goh memberitahu "tidak ada" selepas diminta membaca dua rencana berkenaan.

Artikel Inggeris tersebut telah disiarkan pada 2 Ogos 1999 di muka surat 17, manakala rencana berbahasa Malaysia disiarkan pada muka surat akhir akhbar itu.

Pendakwa hari ini memanggil pencetak Harakah , Chea Lim Thye, sebagai saksi. Chea, yang asalnya didakwa bersama Zulkifli, mengaku bersalah Isnin lalu dan didenda RM4,000.

Dengan dibantu seorang penterjemah bahasa Kantonis, Chea memberitahu mahkamah beliau tidak mempunyai hak untuk membuat sebarang perubahan terhadap filem-filem yang diserahkan kepada syarikat beliau.

Filem diperlukan untuk memindahkan reka bentuk akhbar daripada komputer kepada alat percetakan.

Perbicaraan ditunda pada 13 dan 14 Julai depan bagi membolehkan pihak pendakwa memanggil dua saksi, Abdul Rahman yang kini berada di luar negara dan anggota Jawatakuasa Petugas Menangani Fitnah Majlis Tertinggi Umno, Mohd Tajudin bin Tambi Abdul Wahid.

Zulkifli dituduh di bawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948 ekoran satu rencana bertajuk "Liputan Pengakuan Sukma Hina dan Jahat - Dr. Chandra" yang diterbitkan pada 2 Ogos tahun lalu.

Rencana yang disiarkan pada halaman 40 itu berbunyi: "Adalah memalukan bahawa elemen-elemen dalam pasukan polis, Jabatan Peguam Negara, mahkamah dan media bersedia diperalatkan dalam konspirasi terbesar yang dirancang oleh Perdana Menteri, Mahathir Mohamad dan konco-konconya, ujar beliau".


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS