ADS
mk-logo
News
Adun Kuala Berang meninggal dunia akibat sakit jantung
Published:  Jul 30, 2004 2:22 PM
Updated: Jan 29, 2008 10:21 AM

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Kawasan Kuala Berang, Komaruddin Abdul Rahman, 46, meninggal dunia di Hotel Awana, Genting Highlands dipercayai akibat serangan jantung kira-kira 10.45 pagi ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Kesihatan, Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Wanita Negeri, Rosol Wahid berkata ketika kejadian, Allahyarham sedang bersarapan pagi bersama beliau, anggota keluarganya serta Adun Telemung, Rozi Mamat.

"Ketika bersarapan, Allahyarham tiba-tiba jatuh dan beliau telah dikejarkan ke klinik berdekatan. Bagaimanapun, Allahyarham disahkan meninggal dunia kira-kira 10.45 pagi," katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Terengganu hari ini.

Allahyarham Komaruddin yang merupakan Naib Ketua Bahagian Umno Hulu Terengganu, meninggalkan seorang balu, Salmah Mahmud dan tiga orang anak.

Dalam pilihanraya umum 21 Mac lalu, Allahyarham memperolehi 5,926 undi bagi menewaskan calon PAS, Dr Mamad Puteh dengan majoriti 1,695 undi.

ADS

Rosol berkata jenazah Allahyarham telah dibawa ke Hospital Bentong untuk dibedah siasat.

Pilihanraya kecil

Allahyarham Komaruddin bersama anggota keluarganya serta beberapa Adun dari Terengganu, berada di Genting Highlands untuk bercuti sebelum bertolak ke Kuantan esok bagi menyertai perlawanan bola sepak persahabatan antara pasukan Menteri Besar Pahang dengan pasukan Exco kerajaan negeri Terengganu.

ADS

Rosol berkata jenazah Allahyarham Komaruddin akan dibawa pulang ke Kampung Buloh, Kuala Berang untuk dikebumikan selepas selesai bedah siasat.

Sebelum bertanding pada pilihanraya umum lalu, Allahyarham merupakan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri kawasan Kuala Berang semasa pemerintahan kerajaan PAS Terengganu.

Satu pilihanraya kecil akan diadakan sejurus selepas Suruhanjaya Pilihanraya dimaklumkan oleh Dewan Undangan Negeri Terengganu.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS
ADS
ADS