Laporan akhbar Thailand, The Bangkok Post menyebut bahawa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke ibu negara jiran itu pada hujung minggu lalu adalah “lawatan peribadi” untuk berehat dan beriadah.
Laporan memetik sumber yang dekat dengan rakan sejawat Najib, General Prayut Chan-o-cha yang menyebut bahawa lawatan berkenaan bukan kunjungan rasmi.
Menurut sumber tersebut, Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor “pergi membeli-belah, bermain golf dan menginap di Hotel Shangri-La” semasa lawatan ke Thailand pada 2 Januari.
Najib bagaimanapun membuat “perbincangan tidak rasmi” dengan Prayut selama 90 minit di kediaman jeneral terbabit.
“Perdana menteri Malaysia terpaksa menulis twit bahawa beliau makan tengahari dengan Jeneral Prayut untuk menyatakan perhargaan kepada Thailad kerana menderma 500 tan beras untuk membantu mangsa banjir Malaysia dan bertukar pandangan mengenai penyelesaian masalah banjir dan pemulihan.
“Ini dilihat sebagai usaha untuk mengelakkan kritikan mengenai kunjungannya. Thailand tidak mendedahkan berita mengenai kunjungannya ini kerana ingin menjaga tertib memandangkan beliau bercuti di sini,” kata sumber tersebut seperti dikutip The Bangkok Post .
Kehadirannya di Thailand bagi tujuan tersebut, dan juga kemunculan Rosmah di negara berkenaan menimbulkan persoalan mengenai penggunaan jet Malaysia - pesawat Airbus A319 dengan tanda panggilan 9M-NAA.
Najib dan anggota keluarganya berlepas ke Hawaii dengan pesawat tersebut pada 20 Disember.
Beliau seterusnya bergegas pulang ke Malaysia apabila timbul kritikan meluas mengenai percutian dan permainan golf dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ketika tanah air dilanda bencana banjir buruk.
Najib dilaporkan menaiki pesawat komersial dari AS ke Hong Kong dan kemudiannya dijemput dengan sebuah lagi pesawat kerajaan – dan seterusnya mendarat di Kelantan, negeri yang paling teruk terjejas akibat banjir pada 27 Disember.
Sementara itu, pesawat Airbus A319 yang digunakannya ke AS itu dikesan membuat persinggahan di beberapa lapangan terbang di Los Angeles, Indianapolis, New York, London, Dubai dan Bangkok.
Pesawat itu mendarat di Bangkok pada hari Ahad lalu.
Pejabat Perdana Menteri menjelaskan bahawa pesawat tersebut tidak digunakan oleh keluarga Najib tetapi mengalami masalah teknikal.
PMO bagaimanapun tidak menjelaskan mengenai persinggahan di bandar-bandar utama tersebut, sehingga tiba di KLIA dari Bangkok.