Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pusat-K'tan bersama tangani isu pasca banjir
Diterbitkan:  Jan 6, 2015 6:35 PM
Dikemaskini: 12:25 PM

Kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Kelantan menubuhkan Jawatankuasa Bersama Menangani Pasca Banjir bagi memulihkan semula kehidupan rakyat di negeri ini yang terjejas teruk akibat banjir baru-baru ini.

    

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata jawatankuasa itu akan dipengerusikan bersama oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob (kanan) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas (pusat) Bencana Banjir Negeri Kelantan.

    

"Perkara utama di sini ialah bagaimana untuk memulihkan kehidupan rakyat kita yang ditimpa musibah banjir kembali seperti sedia kala, oleh kerana keadaan begitu teruk banyak pihak perlu menyedari hakikat bahawa kita perlu bersatu  menguruskan keadaan ini secepat mungkin dalam keadaan sebaik-baiknya supaya kita dapat mengurangkan beban yang ditanggung oleh mangsa banjir," katanya.

    

Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita, selepas mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi Pelan Tindakan Pasca Banjir Negeri Kelantan di Kota Bharu hari ini, yang turut dihadiri oleh Ahmad dan Mustapa (bawah).

    

Muhyiddin berkata langkah pertama yang akan dilakukan adalah untuk memastikan kesemua mangsa banjir dapat kembali ke rumah masing-masing.

    

"Masalahnya ada 2,660 isi rumah yang rumah mereka musnah 100 peratus, bila balik mereka tidak ada rumah lagi, ini sudah didaftarkan," katanya.

    

Muhyiddin berkata proses untuk mendaftarkan isi rumah yang dikatakan menjadi mangsa banjir sedang dilakukan dan perlu  disiapkan selewat-lewatnya pada 15 Januari.

    

"Apabila senarai mereka yang ditimpa musibah banjir itu didaftarkan, kita tahu isi rumah yang terlibat dan langkah utama kerajaan ialah untuk memberi bantuan ihsan untuk memulakan kehidupan mangsa banjir kerana mereka sudah lama tidak  bekerja, tidak ada pendapatan.

    

"Dalam kes banjir biasa pun kita ada bagi sejumlah peruntukan, saya akan rujuk kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) amaun yang akan diberikan kepada setiap isi rumah atau ketua keluarga sama ada RM500 atau RM1,000 ini akan diputuskan secepat mungkin," katanya yang berharap pembayaran akan dapat dilakukan sama ada 15 atau 16 Januari.

    

Beliau berkata bantuan bekalan makanan kering seperti beras, gula, susu dan lain-lain untuk menampung tempoh tiga hari selepas mangsa kembali ke rumah akan diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Muhyiddin (kanan) berkata fokus jawatankuasa itu seterusnya ialah memastikan semua mangsa banjir terutama yang kehilangan rumah atau rosak teruk mempunyai tempat berlindung buat sementara waktu sehingga rumah kekal dapat disiapkan.

    

"Sebahagian mereka tidak ada tempat untuk berlindung, kita bersetuju diberi perhatian segera sama ada sediakan khemah seperti di Gua Musang ... ini paling sementara. Menteri besar telah kemukakan cadangan yang baik iaitu cari rumah kedai atau bangunan kerajaan yang tidak digunakan untuk tempatkan sementara mangsa banjir ini.

    

"Bangunan swasta kita boleh sewa untuk sekurang-kurangnya tiga bulan sementara menunggu projek rumah sementara siap," katanya sambil menambah jawatankuasa berkenaan akan mengenal pasti kediaman lain yang tidak digunakan untuk dijadikan penempatan sementara.

    

Beliau berkata bagi mangsa yang kehilangan rumah tetapi masih mempunyai tapak (tanah), kerajaan bercadang untuk membina semula rumah di tapak tersebut manakala mangsa yang tidak ada tapak rumah, kerajaan negeri akan menyediakan kawasan sesuai untuk dijadikan penempatan sementara.

     

"Konsep untuk rumah sementara yang akan dibina itu akan diputuskan secepat mungkin kerana maksud sementara itu ialah untuk tempoh setahun hingga tiga tahun, bergantung kepada tempoh siapnya pembinaan rumah kekal,"  katanya.

Timbalan perdana menteri berkata setakat ini, anggaran jumlah kerosakan harta awam milik kerajaan di Kelantan adalah bernilai RM932.4 juta melibatkan bangunan kerajaan, hospital, balai polis dan jalan raya.

    

Katanya, kerajaan negeri juga perlu segera menyenaraikan infrastruktur yang rosak akibat banjir mengikut keutamaan supaya kerja pemulihan dapat dilakukan segera.

    

Beliau berkata langkah lain yang akan diberi keutamaan ialah proses pembersihan kawasan yang dilanda banjir  termasuk rumah penduduk dan kemudahan awam seperti sekolah, masjid, dewan orang ramai dan pasar awam.

Beliau berkata sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan perlu mendaftar dengan pihak jawatankuasa itu bagi  penyelarasan kerja pembersihan.

    

Muhyiddin berkata selepas selesai pasca banjir itu, kerajaan akan memfokuskan kepada langkah-langkah menangani banjir seperti mendalamkan sungai dan membina tebatan banjir.

    

Sementara itu di PETALING JAYA, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata jalinan kerjasama antara kerajaan pusat dan Kelantan amat penting dalam merealisasikan usaha membangunkan semula kawasan di negeri itu yang terjejas teruk akibat bencana banjir.

    

Beliau berkata tanpa kerjasama tersebut, usaha membantu rakyat di negeri berkenaan pasti mustahil berikutan hak pemilikan tanah dan isu pembangunan perumahan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

    

"Jika kerjasama dapat diperkukuhkan, kerajaan negeri dapat membantu kerajaan pusat mengenal pasti tanah-tanah (kawasan) yang boleh dibangunkan projek perumahan baharu jangka masa sederhana dan panjang untuk mangsa banjir," katanya kepada pemberita di Subang hari ini.

    

Hishamuddin berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan kepada mangsa banjir oleh Badan Amal Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT) yang disampaikan isteri beliau, Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

    

Majlis yang berlangsung di Pusat Pengumpulan Barangan Banjir, Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Subang menyaksikan sumbangan telekung, sejadah dan tudung masing-masing sebanyak 1,000 helai untuk disalurkan kepada mangsa banjir di Kelantan.

    

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS