Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Darurat bawah Perlembagaan Persekutuan hanya boleh diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong, seperti peruntukan dalam Perkara 150.

Ia contohnya dalam Darurat Mei 1969, Darurat Komunis 1948, Darurat Sarawak 1966 (pergelutan kuasa kerajaan negeri dengan Persekutuan) dan Darurat Kelantan 1977 (pergelutan kuasa pentadbir negeri dengan Persekutuan).

Hasil daripada darurat itu, pucuk pimpinan negara diambil alih tentera,  apa-apa saja undang-undang boleh diluluskan, meskipun melanggar Perlembagaan Persekutuan dan pilihan raya boleh ditangguh.

Antara contoh undang-undang yang diluluskan semasa darurat adalah Ordinan Darurat 1969, yang membolehkan kerajaan membuat penahanan tanpa bicara.

Tempoh darurat tidak terhad. Darurat Sarawak 1966, darurat Mei 1969 dan darurat Kelantan 1977 hanya dibatal pada tahun 2011.

Dalam erti kata lain, perintah-perintah tersebut bertahan selama berpuluh tahun!

Susulan pengumuman pembatalan darurat tersebut perdana menteri, Ordinan Darurat secara automatik dimansuhkan.

Darurat jerebu

Darurat bencana berbeza daripada darurat yang dijelaskan di atas. Darurat bencana dibuat secara pentadbiran dan eksekutif bawah Perkara 25 Arahan No 20 Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara MKN.

Selain itu, perdana menteri sebagai ketua kerajaan, boleh membuat pengumuman darurat bencana (selepas menerima nasihat Majlis Keselamatan Negara).

Contoh darurat bencana seperti berikut:

1. Darurat jerebu Sarawak 1997

2. Jerebu Pelabuhan Klang 2005 (Indeks Pencemaran Udara atau API lebih 500)

3. Jerebu Muar dan Ledang 2013 (API lebih 750)

Kesannya pula seperti berikut:

1. Penggemblengan dan kerahan bantuan akan diambil alih oleh kerajaan Persekutuan dan agensi-agensi atau Kementeriannya.

2. Pembiayaan pengurusan, pemulihan dan sebagainya akan ditanggung oleh kerajaan Persekutuan.

3. Kesemua aset dan jentera kerajaan seperti tentera, RELA, dana, bot, kenderaan dan sebagainya akan dikerahkan.

Mengapa kerajaan Persekutuan enggan mengisytiharkan darurat?

 

Pada hemat saya, terdapat beberapa alasan pokok melibatkan persepsi umum dan kos.

Dalam politik, persepsi umum penting untuk membolehkan rakyat terus menaruh keyakinan dan kepercayaan pada kerajaan.

Semua dalam kawalan?

Ayat-ayat seperti "semua dalam kawalan" merupakan jawapan dan respons yang lazim diberi oleh kerajaan.

Contohnya, isu seperti hutang 1MDB, hutang negara, kebocoran soalan UPSR, dan kini banjir pantai timur, bukankah semua ini dikatakan 'dalam kawalan'?

Tetapi adakah ia benar-benar 'dalam kawalan', terpulang kepada anda untuk menilai.

Perisytiharan darurat bukan saja menjejaskan kepercayaan orang awam, malah keyakinan pelabur asing juga akan terjejas.

Sebagai contoh, saham AirAsia menjunam gara-gara misteri QZ8501.

Selain itu, kos pembiayaan pengendalian musibah ini akan menambahkan beban kerajaan Persekutuan.

Semasa Najib berada di luar negara, RM50juta peruntukkan telah diluluskan dengan segera. Setibanya di tanah air pula, tambahan RM500juta diluluskan.

Jumlah sekarang sekurang-kurangnya RM550juta.

Ada yang tanya saya, tidakkah ini RM550juta ini cukup untuk mangsa? Tidakkah ia menambah beban kerajaan pusat?

Apa yang kalian perlu tahu adalah ini: Penambahan peruntukkan RM500j uta tersebut bukan kesemuanya secara langsung diagihkan untuk mangsa banjir pantai timur untuk membeli makanan dan minuman.

Dalam kenyataan Majlis Keselamatan Negara, RM500 juta ini diagihkan kepada Majlis Keselamatan Negara untuk 'the aftermath'.

Dalam erti kata lain, ia untuk membaiki jalan raya, jambatan, dan sebagainya. Sebahagian lagi peruntukkan ini juga disalurkan untuk persiapan musim banjir kelak.

Twitter 'separuh masak' PM

Insurans? Pada pendapat saya, kenyataan Twitter perdana menteri bersifat separuh masak dan mengelirukan.

Tuntutan insurans sebenarnya terpulang kepada polisi-polisi yang ditandatangani pembeli insurans.

Ada banyak orang kampung yang tidak mempunyai insurans yang melindungi rumah dan kedai mereka.

Jika ada pun, kebanyakkan insurans tidak melindungi kerosakan-kerosakan akibat bencana alam seperti gempa bumi, tanah runtuh dan banjir.

Akibatnya, kebesaran mungkin kerugian ini akan dikategorikan sebagai 'total loss'.

Justeru, tanpa perisytiharan sekalipun, mereka tidak akan dapat tuntut sebarang insurans.

Namun, ada pelanggan insurans yang membayar lebih untuk melindungi kerugian bencana alam. Untuk pelanggan-pelanggan ini, perisytiharan darurat tidak sama sekali akan menggugat kedudukan mereka.

Hal ini sedemikian kerana banjir ini berlaku sebelum perisytiharan dan kerugian yang dialami dikira kerugian akibat bencana alam.

Justeru, kerugian kelompok ini tetap dilindungi.


ADRIAN LIM CHEE EN merupakan pengasas dan koordinator Mahasiswa Ganyang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS