Walaupun berlakunya pertikaman lidah antara PAS dan DAP berkenaan hudud, hukuman itu tetap akan dilaksanakan kerana ia nyawa kepada parti Islam itu, kata Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Haron Din.
“PAS tidak terbelenggu oleh komen lawan mahupun kawan. Hudud nyawa PAS dan ini perjuangan asas yang tidak pernah lekang.
“Jika (Setiausaha Agung DAP Lim) Guan Eng merasakan tidak selesa, maka carilah jalannya sendiri untuk keselesaan kerana hudud tetap diteruskan (di Kelantan),” kata Haron, seperti dilaporkan Utusan Malaysia .
Haron juga dilaporkan berkata, Lim akan terus merosakkan kerjasama politik Pakatan Rakyat yang dibina sejak 2008 jika terus mempertikaikan agenda pelaksanaan hudud Kelantan.
“Apa yang dibuat DAP telah mencacat dan mencarik-robek tahaluf (kerjasama), kalau terus-menerus demikian, maka DAP yang mengoyak kertas tahaluf kerana PAS tidak pernah mempertikai asas perjuangan DAP,” Haron dipetik sebagai berkata.
Semalam, Guan Eng dalam kenyataannya sebelum ini berkata, perlaksanaan hudud di Kelantan bertentangan dengan persetujuan bersama dalam Pakatan.