Sekumpulan NGO tempatan mengadakan bantahan terhadap lawatan pemimpin rampasan kuasa Thailand yang kemudiannya menjadi perdana menteri, Prayuth Chan-ocha hari ini.
Lima puluh peserta bantahan tersebut di kedutaan Thai kecewa dengan kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak memberi sambutan rasmi lawatan Prayuth.
"Diktator tidak dialu-alukan. Pulanglah Prayuth," jerit orang ramai di premis kedutaan Thailand di Jalan Ampang di mana bantahan itu diadakan.
Mereka turut membawa sepanduk yang berbunyi "return democracy", "no coup" dan "dictator not welcome".
Parti Sosialis Malaysia (PSM), Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Jaringan Rakyat Tertindas, Komas dan 14 lagi NGO menyertai protes tersebut.
Mereka menuntut Thailand segera memansuhkan undang-undang tentera dan menamatkan tindakan keras dan penangkapan penentang politiknya dan melepaskan tahanan politik.
Mereka juga menggesa Thailand memulihkan proses pilihanraya.
'Jangan iktiraf Prayuth'
"Sebelum syarat-syarat ini dipenuhi, kami menyeru kerajaan Malaysia supaya berhenti mengiktiraf pentadbiran Prayuth," tuntut kumpulan itu dalam memorandum mereka kepada Kedutaan Thailand.
"Kami menuntut supaya jeneral tersebut tidak dilayan sebagai tetamu di Malaysia," kata Presiden Persatuan Sahabat Wanita Selango,r Irene Xavier.
Memorandum tersebut diterima oleh kaunselor Annop Soonjan, yang mengucapkan terima kasih kepada mereka dan berjanji untuk menyampaikan mesej mereka kepada Prayuth petang ini.
Pada 22 Mei, Prayuth mengambil alih negara ini selepas menyingkirkan Perdana Menteri yang dilantik, Yingluck Shinawatra, berikutan protes besar-besaran selama enam bulan dan keputusan mahkamah terhadap Shinawatra sebagai perdana menteri.
Seramai 28 orang terbunuh dan lebih 700 cedera dalam protes itu sebelum Prayuth merampas kuasa dan tiga bulan kemudian, ketua tentera itu disahkan oleh Raja Thai Bhumibol Adulyadej sebagai perdana menteri baru.