Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Keretapi Tanah Melayu Berhad mengumumkan bahawa kesemua kakitangan yang dikenakan tindakan kerana terlibat dalam piket sebelum ini akan dikembalikan ke jawatan asal.

Lembaga Pengarah KTMB, Datuk Nawawi Ahmad dalam pengumumannya bagaimanapun berkata, kakitangan berkenaan perlu menandatangani satu memorandum persefahaman terlebih dahulu.

Katanya, seramai lima orang kakitangan telah dikembalikan semula ke jawatan asal dan memulakan tugas pada 18 November lalu.

“(Jawatan) mereka dipulihkan setelah melalui proses rayuan dan menandatangani memorandum persetujuan yang telah disediakan oleh KTMB,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Sementara itu, presiden KTMB, Datuk Elias Kadir dalam sidang media sama turut menegaskan bahawa tindakan ke atas kakitangan tersebut diambil kerana berpiket.

Katanya, tindakan industri berpiket merupakan kesalahan dari segi undang-undang, yang enggan dinyatakannya.

“Ia menyalahi undang-undang , kerana itu mereka diberikan surat amaran dan dihentikan kerja. Tapi saya tak boleh nyatakan apa jenis peruntukan akta undang-undang,” katanya.

Elias juga mengelak apabila ditanya mengenai desakan oleh Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu (RUM) untuk meletak jawatan.

“Saya tidak bagus untuk menjawab soalan media, pengambilan pekerja semula atas arahan pengerusi lembaga pengarah,”ujarnya lagi.

KTMB sebelum ini menamatkan perkhidmatan seramai 97 kakitangannya yang didapati bersalah atas tuduhan berpiket.

 

Piket itu disertai ratusan anggota RUM bagi mendesak Elias melepaskan jawatan kerana didakwa gagal memulihkan KTM - satu tugasan yang sepatutnya dilakukan beliau sejak menerajui KTM dua tahun lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS