Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mereka menang di mahkamah tetapi masih kalah daripada aspek penerimaan orang ramai.

Apakah sebenarnya yang dirasai oleh golongan transgender, yang lebih dikenali sebagai bapuk, mak nyah atau pondan ini?

Muhammad Izat Hasmi, seorang transgender yang ditemui Malaysiakini di Batang Kali, Selangor mengakui, menjadi seperti dirinya perkara yang sukar.

Katanya, beliau mengalami krisis identiti sejak kecil dan mula mengubah penampilan diri kepada wanita ketika berusia 18 tahun.

Beliau ketika ditemui berpakaian wanita, dalam baju merah dan jaket hitam serta olesan alat solek di wajah, sekali di imbas seperti seorang wanita sempurna.

Keluar daripada tanggapan klise bahawa trangender seorang pekerja seks, beliau yang dikenali di kalangan rakan-rakannya sebagai “Girl Girl”, sebaliknya pernah bekerja sebagai pembantu makmal di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, akibat tidak tahan dengan teguran kasar dan kurang sopan yang dilontarkan, beliau akhirnya berhenti kerja.

“Saya ada dinasihati tetapi kebanyakannya melalui cara kasar, dengan niat untuk membuat saya terasa.

“Mereka cakap pondan tak boleh masuk syurga. Tapi mereka tu tuhan ke?”ujarnya sambil membetulkan rambutnya.

Menceritakan masalahnya sebagai seorang transgender, Girl Girl berkata kebiasaannya mereka mengalami masalah ketika menunjukkan identiti, seperti untuk membuat kad pengenalan dan lesen memandu.

“Biasanya hal yang melibatkan jantina mereka akan lihat saya atas bawah, mungkin kerana saya lain daripada lelaki tulen,” jelasnya yang tidak lekang dengan senyuman.

Bukan itu sahaja, beliau juga tidak nampak masa depannya yang cerah di negara ini kerana undang-undang sedia ada di Malaysia.

“Saya tahu, untuk golongan macam saya ini kami tidak ada apa-apa pilihan melainkan berubah namun kerajaan haruslah beri kelonggaran kepada kami, jangan main tangkap kami.

"Apa salah kami? Kami tak melakukan jenayah,” kata Girl Girl.

Beliau berharap sebelum sebarang penguatkuasaan dibuat, kerajaan harus memahami naluri mereka terlebih dahulu.

Mengaku ada 'anu'

Walaupun berperwatakan perempuan, Girl Girl tidak membuat pembedahan untuk menukar jantina dan atas faktor agama membayangkan tidak akan melakukannya.

“Jujur ya, saya tidak pernah membuat pembedahan, saya masih ada anu, saya cuma ambil hormon.

“Saya sedar, agama kita tidak benarkan kita tukar alat kelamin sebab nanti kita mati, kita akan kembali sebagaimana kita diciptakan,” katanya yang sedar mengenai kehendak agama.

Beliau juga berkata sudah lali diejek masyarakat dan kini hanya menerimanya sahaja.

“Pada awalnya saya memang marah, tapi nak buat macam mana kami ini memang dipandang hina.

I am bapuk, I am mak nyah, so what ? (Saya bapok, saya mak nyak, jadi?)” ujarnya disambut dengan tawa temannya.

Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 7 November memutuskan bahawa seksyen yang yang memperuntukkan hukuman ke atas lelaki Islam berpakaian wanita bercanggah dengan perlembagaan dan terbatal.

Ia secara tidak langsung mengiktiraf hak golongan transgender dan disambut gembira oleh aktivis dan golongan itu.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS