Most Read
Most Commented
Read more like this

Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) hari ini "memberi amaran" kepada pihak tertentu agar tidak lagi menggesa sistem kuota kemasukan ke universiti yang dinikmati golongan Bumiputera sekarang dimansuhkan.

"Semua pihak harus akur bahawa sistem kuota ini (masih) sah disebabkan ia dimasukkan dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan dalam suasana sekarang, ia masih diperlukan kerana Bumiputera masih tertinggal dalam semua bidang," kata Setiausaha Agung PMUKM, Abdullah Abdul Karim, mengulas satu laporan malaysiakini .

Selasa lalu, akhbar web itu melaporkan dua pertubuhan Cina, Dong Jiao Zong dan Dewan Perhimpunan Cina Selangor menggesa sistem kuota kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) awam dihapuskan bagi membolehkan persaingan bebas tanpa mengira kaum dan membentuk masyarakat adil.

Abdullah berkata gesaan dua pertubuhan Cina itu "amat tidak bertanggungjawab sama sekali dan seolah-olah cuba menimbulkan kembali tuntutan-tuntutan sensitif yang boleh menimbulkan kemarahan orang Melayu."

Menurutnya, perangkaan tahun lalu menunjukkan kira-kira 600 buah IPT swasta menampung lebih 200,000 pelajar dan daripada jumlah itu, didapati 15 peratus sahaja pelajar Melayu. Sementara jumlah pelajar di IPT awam adalah 150,000 orang tetapi akibat amalan sistem kuota, 45 peratus daripadanya pelajar bukan Melayu, tambah Abdullah.

"Ini bermakna jumlah pelajar bukan Bumiputera yang sedang mengikuti pengajian tinggi (jauh) lebih tinggi daripada pelajar Bumiputera," katanya. "Apakah pertubuhan-pertubuhan seperti Dong Jiao Zong masih tidak menyedari hakikat ini? Atau sengaja mencetuskan kembali soal yang sebegini sensitif?"

Dua pertubuhan Cina itu membuat gesaan itu sebagai mengulas laporan akhbar yang menyebutkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan sedang menimbangkan untuk menghapuskan sistem kuota jika pelajar Bumiputera tidak lagi memanfaatkan lebih 7,000 kekosongan di IPT awam.

Tempat kosong di institusi pengajian tinggi (IPT) awam akan diberikan kepada pelajar bukan Bumiputera untuk mengelakkan golongan cerdik pandai bukan Bumpitera ke luar negara, katanya lagi.

Alasan 'tidak memuaskan'

Bagaimanapun, bilangan kekosongan yang telah menjadi isu sejak minggu lalu dilaporkan sebagai tidak benar.

"Laporan (yang) menyatakan ada 7,168 tempat bagi calon Bumiputera yang masih belum penuhi, tidak benar," kata Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Profesor Dr Hassan Said seperti dilaporkan.

Malah, akhbar-akhbar harian hari ini melaporkan semua kekosongan itu telah dipenuhi dan masih terdapat 11,376 pelajar Bumiputera yang layak tetapi gagal masuk ke IPT awam.

PMUKM melahirkan perasaan "amat hairan dan sedih" apabila masih terdapat gesaan untuk menghapuskan sistem kuota dan menyifatkannya "ibarat menjolok sarang tebuan."

Sementara itu Parti Rakyat Malaysia melahirkan rasa hairan dengan kelambatan Kementerian Pendidikan membuat penjelasan berhubung isu itu dan menyifatkan alasannya masih "tidak memuaskan."

"Akibatnya, kontroversi (isu ini) berlarutan. Perdana Menteri sendiri telah menerima angka kekosongan yang kini dikatakan salah sehingga beliau sanggup membuat kenyataan bahawa kuota pelajar Bumiputera untuk kemasukan universiti dikaji semula jika orang ramai menghendakinya," kata Presiden PRM Dr Syed Husin Ali.

Beliau berkata walau penjelasan telah dibuat tetapi masih ada pihak yang menyangka masalah kekurangan calon Bumiputera itu memang wujud.

"Oleh kerana kontroversi yang berlanjutan, timbul sangkaan seolah-olah kementerian telah menangkap muat calon-calon baru untuk memenuhi kekosongan. Ini menimbulkan imej sangat buruk kepada kementerian dan juga menteri," tambahnya.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS